4 June 2011

Kayu Manis

KAYU MANIS merupakan salah satu jenis rempah yang paling lama digunakan. Ia merupakan rempah ratus yang paling popular di negara-negara barat, jadi ia digunakan dalam kebanyakan masakan mereka. Di seluruh dunia, kulit kayu manis sering digunakan dalam masakan dan minuman. Aromanya cukup istimewa selain dapat menambahkan rasa sesuatu hidangan.

Pokok ini dikatakan berasal dari Sri Lanka. Namun ada juga sumber yang mengatakan bahawa ia sebenarnya adalah tanaman asli Indonesia. Menurut sumber lagi, tanaman ini bertumbuh di Sumatera Barat, iaitu di sekitar Padang.

Ada beberapa perbezaan antara kayu manis Indonesia, Sri Lanka, China dan Vietnam. Misalnya kayu manis Sri Lanka lebih nipis dan berwarna lebih pucat berbanding dengan kayu manis Indonesia. Sedangkan kayu manis dari China dan Vietnam pula mempunyai aroma yang lebih pahit.

Biasanya, rasa dan aroma kayu manis jenis serbuk adalah lebih tajam berbanding dengan kayu manis jenis batang. Akan tetapi, kayu manis jenis serbuk tidak tahan lama kerana ia mudah rosak dan aromanya akan hambar.

Kayu manis juga boleh dimanfaatkan dalam aromaterapi. Dipercayai minyak aromaterapi kayu manis dapat memberikan ketenangan, menghilangkan keletihan dan sakit kepala. Sementara kulit kayu manis yang direbus dengan air gula boleh menghasilkan minuman yang dapat menurunkan kepanasan badan dan meredakan selsema.

Menurut pakar herba Indonesia, Prof. Hembing Wijayakusuma, kayu manis amat berkhasiat untuk merawat salah urat, tekanan darah tinggi, gastrik, tidak ada nafsu makan, sakit kepala, masalah angin, cirit-birit, perut kembung, muntah, masalah sistem perkumuhan dan asma. Kulit batang, daun dan akarnya boleh dimanfaatkan sebagai ubat antireumatik, diaphoretic, carminative, meningkatkan nafsu makan dan meredakan kesakitan.

Menurut Pusat Kajian Kesihatan Masyarakat Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, kayu manis dapat mempercepatkan tindakan insulin dalam melancarkan metabolisme glukosa darah sebanyak 9 kali ganda. Ketua Pusat Kajian tersebut, Richard Anderson, PhD memberitahu bahawa peningkatan tindakan insulin amat baik terhadap penderita diabetes yang mempunyai masalah insulin. 

0 comments:

Post a Comment