11 June 2011

Puluhan ribu penyokong Kelantan, Terengganu penuhi stadium

KUALA LUMPUR: Puluhan ribu penyokong pasukan Kelantan dan Terengganu mula berkampung di perkarangan Stadium Nasional di Bukit Jalil sejak awal pagi ini untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA malam ini. 

Kebanyakan penyokong tiba dengan kenderaan sendiri, berkumpulan dan menyertai rombongan bas yang ditaja oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.
Suasana di perkarangan Stadium Nasional riuh-rendah dengan kedua-dua penyokong pasukan melaungkan lagu-lagu pasukan masing-masing.


Rata-rata mereka tiba dengan mengenakan jersi pasukan negeri masing-masing dan ada di antara mereka yang mengenakan rambut palsu mengikut warna yang melambangkan pasukan serta tidak keberatan untuk mewarnakan wajah mereka. 

Seorang penyokong Kelantan, Salmi Daud, 35, berkata beliau sampai ke Stadium Nasional sejak awal pagi tadi selepas bertolak dari Kota Bharu bersama rakan-rakan pada 12 tengah malam semalam. 

"Saya bertolak awal kerana bimbang tidak akan mendapat tempat untuk letak kereta," katanya. 

Salmi berkata, beliau berharap pasukan Kelantan mampu mencatat kemenangan pertama dalam Piala FA kali ini. 
Sementara itu, penyokong pasukan Terengganu, Fatimah Abdullah, berkata beliau dan keluarga berada di stadium sejak 9 pagi tadi. 

Fatimah, 34, berkata beliau bersama suami dan anaknya bertolak dari Kuala Terengganu pada tengah malam tadi. 

"Saya berharap pasukan Terengganu mampu menjadi johan pada kali ini sebagai hadiah buat semua rakyat Terengganu," katanya. 

Sementara itu, kebanjiran puluhan ribu penyokong Kelantan dan Terengganu di sekitar Stadium Nasional turut memberi rezeki kepada peniaga kecil. 

Selain menjual makanan ringan, peniaga juga menjual jersi kedua-dua pasukan. - BERNAMA 

0 comments:

Post a Comment

Social Profiles

Twitter Facebook Google Plus LinkedIn RSS Feed Email Pinterest

Copyright © NurFarizan.Com