14 August 2011

Perkhidmatan Tren Elektrik sedia 65,800 tiket ke utara, selatan

IPOH: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menyediakan 65,000 tiket kepada orang ramai bagi perjalanan ke utara dan selatan bermula 25 Ogos sehingga 6 September ini bagi sambutan Aidilfitri.

Presiden KTMB Berhad, Dr Aminuddin Adnan, berkata tiket berkenaan adalah perjalanan dari Ipoh-Kuala Lumpur, Ipoh-Seremban, Kuala Lumpur-Ipoh dan Seremban-Ipoh dengan menawarkan perjalanan sehala pada harga RM45, RM35 dan RM25.

"Sehingga semalam, sebanyak 13,617 tiket sudah dijual dan masih terdapat baki 52,183 tiket yang boleh dibeli di kaunter KTM di Ipoh, Seremban dan Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar selepas meraikan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Baitul Aini Perak di sini malam tadi.

Beliau berkata, harga tiket RM25 akan dijual bermula pada 26 Ogos ini, manakala tiket RM45 dan RM35 boleh didapati sekarang di mana-mana kaunter ETS Seremban, Ipoh dan Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 1-300-88-5862. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment