Follow Us @soratemplates

28 October 2011

Sindrom Keletihan Kronik






Nama lain bagi CFS adalah Myalgic Encephalitis. Tanda awal bagi penyakit ini adalah keletihan teramat sangat yang muncul secara tiba-tiba dan selalu datang dan pergi atau tidak pernah berhenti. Anda kadangkala berasa terlalu letih untuk melakukan aktiviti normal atau senang berasa letih tanpa sebab tertentu.


Selalunya apabila kita berasa letih, ramai yang mengambil keputusan untuk tidur. Namun bagi sindrom keletihan kronik ini, rasa yang letih tidak boleh hilang walaupun setelah seseorang itu tidur. Sebaliknya, secara diam-diam rasa letih ini akan ‘mencuri’ tenaga dan kekuatan seseorang selama beberapa bulan dan kadangkala bertahun.



Bagaimana CFS bermula

Bagi kebanyakan orang, CFS akan bermula selepas serangan penyakit ringan seperti selesema, atau penyakit bronkitis, mononucleosis, hepatitis atau penyakit usus. Selalunya, ramai yang berkata bahawa penyakit mereka bermula semasa mereka dalam keadaan tekanan melampau. Yang lain pula, mereka akan mengalami keadaan ini secara beransur-ansur, sama ada dengan tiada tanda-tanda jelas atau tanda penyebab.



Gejala-gejala CFS
Tidak seperti gejala-gejala demam selesema, di mana ia selalunya akan berakhir dalam beberapa hari atau minggu, gejala-gejala CFS pula berlainan. Gejala-gejala ini akan selalunya sama ada akan kekal atau timbul dan hilang dalam jangka masa lebih daripada enam bulan. Gejala-gejalanya termasuklah :

📍 Pening
📍 Nodus limfa lembut
📍 Keletihan dan kelemahan
📍 Sakit otot dan sendi
📍 Kurang daya tumpuan
📍 Tidur sering terganggu dan tidak berasa segar selepas bangun tidur
📍 Rasa hendak muntah atau mual dan hilang selera makan



Siapa berisiko mendapat CFS
Tanpa sebab yang diketahui, CFS didiagnosis lebih banyak berlaku terhadap wanita daripada lelaki. Penyakit ini selalunya terjadi kepada orang dewasa yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.







Penyebab CFS

Doktor tidak mengetahui penyebab CFS. Beberapa penyebab yang mungkin menyebabkannya adalah termasuk :

Anemia akibat kekurangan zat besi
Gula dalam darah rendah (hypoglycemia)
Alahan kepada bahan persekitaran
Mononucleosis
Imun sistem tidak berfungsi
Perubahan dalam tahap penghasilan hormon di hypothalamus, kelenjar pituari atau kelenjar adrenal
Tekanan darah rendah kronik (hypotension)

Penyebab CFS mungkin satu inflamasi di laluan sistem saraf sebagai satu tindak balas kepada proses autoimun, tetapi bukan seperti di dalam penyakit autoimun lain seperti reumatisme artritis atau lupus. CFS mungkin boleh berlaku apabila penyakit virus itu menjadi rumit melalui sistem imun yang tidak berfungsi. Sesetengah orang yang mengalami CFS mungkin mempunyai tekanan darah rendah yang dapat mendorong kepada tindak balas untuk pengsan.



Penjagaan diri
Malang sekali, tiada ubat bagi CFS. Namun begitu, kajian mendapati bahawa individu yang paling berpeluang untuk bebas daripada sindrom ini adalah dengan cuba kekal aktif menjalani kehidupan seharian. Mempelajari bagaimana untuk menguruskan keletihan dapat membantu anda meningkatkan kualiti kehidupan. Sebaik-baiknya, cubalah mengekalkan kesihatan anda dengan mengikuti langkah-langkah penjagaan diri seperti berikut :


Kurangkan tekanan

Cuba elak tekanan emosi yang berlebihan. Beri masa kepada diri sendiri untuk berehat. Jika boleh, jangan ubah rutin seharian anda dengan tiba-tiba. Mereka yang berhenti kerja atau berhenti melakukan aktiviti harian mungkin akan lebih teruk daripada mereka yang masih aktif.

Dapatkan tidur yang cukup

Sebagai tambahan bagi mendapatkan tidur yang cukup, latihlah diri anda terhadap tabiat tidur yang baik seperti tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari serta batasi tidur waktu petang.

Besenam selalu

Pada mulanya, senaman mungkin boleh meningkatkan rasa sakit dan keletihan. Tetapi dengan berbuat demikian selalu dapat memperbaiki gejala. Senaman yang sesuai termasuklah berjalan, berenang, berbasikal dan aerobik air. Pakar terapi fizikal boleh membantu anda membuat program senaman.

Kekalkan kehidupan sihat

Cuba untuk makan diet seimbang, minum banyak air, hadkan pengambilan kafein, berhenti merokok, rehat secukupnya dan senaman selalu. Cari hobi atau karier yang dapat memberi kepuasan kepada diri anda.

Kesimpulannya, jika anda mengalami sindrom keletihan kronik, perlulah anda segera mendapatkan nasihat doktor bagi mengetahui cara bagaimana mahu mengatasi masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment