Follow Us @soratemplates

26 November 2011

Pesona Wajah Jelita Datin Nor Aliah Lee & Wardina

PESONA WAJAH JELITA DATIN NOR ALIAH LEE & WARDINA
Datin Nor Aliah Lee Abdulah dan Wardina Safiyah Fadlulah begitu serasi untuk penggambaran muka depan Nona kali ini. Sejak peralihan imej berhijab, gemerlap bintang seni ini terus menyinar tanpa kerisauan populariti memudar. Tanpa kekok berhadapan dengan lensa kamera, gaya bersahaja memudahkan fotografi berjalan lancar tanpa gangguan. Khas untuk edisi ulang tahun ke-25 Nona yang kekal unggul di pasaran …


RAHSIA SUARA WARDINA
Biar pun penat berkejar selepas rakaman live di Malaysia Hari ini (MHI) namun Wardina sepenuh rasa menikmati frasa kehidupannya sebagai anak seni. Kehadirannya awal pagi di studio langsung sedia untuk disolek oleh Surya Zainul. Meriah bicaranya dan senyuman sentiasa terukir di bibir. Wardina tetap kekal manis dan santun. Mari membaca penuh artikel yang mencoret kisah hidupnya yang cukup sibuk. Berbicara langsung cinta pada dunia pengacaraan yang serasi dengan jiwanya, “Hingga kini saya masih menggalas tugas sebagai pengacaradi Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Kiranya ini merupakan tahun ke-5 (tigatahun sebelum itu berkhidmat di Wanita Hari Ini). MHI memberikan kepuasan kerana sering membincangkan dan mengupas isu-isu semasa. Saya mencintai dunia pengacaraan dan kalau tak bercakap,saya jadi pening.” Tidak cukup itu, Wardina cukup teruja dengan projek terbaru iaitu online show yang akan disiarkan di portal Tonton berjudul ‘Dari Hati Wardina’. “Memandangkan ramai pengikut saya terdiri daripada remaja dan ibu-ibu muda maka saya memerlukan medium untuk berkongsi perkara yang dekat di hati saya. Untuk itu, saya akan berkongsi pandangan saya, menulis skrip sendiri menerusi ‘Dari Hati Wardina’ (akan beroperasi tidak lama lagi) yang merupakan luahan hati saya sendiri mengenai pelbagai isu termasuklah cinta, memperbaiki diri dan beberapa isu semasa pilihan. Idea ini datang apabila video ‘Ini kisahku’ di YouTube mengenai kisah penghijrahan saya yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kalau awak nak tahu, sudah hampir mencecah 10000 hits,” ujarnya teruja. “Saya menerima respon yang sangat baik dari ramai pihak. Oleh sebab itu, merasakan perlu meneruskan sebuah rancangan dari hati saya yang tidak terikat dengan mana-mana pihak lain. Bagi saya, media baru seperti laman web ini merupakan medium yang wajar diterokai memandangkan ramai penguna sudah beralih kepada medium seperti ini kerana ianya lebih bebas dan jujur.” Pasti ramai yang merindui kehadiran Wardina di layar lebar kerana pernah membintangi beberapa filem. Namun aktiviti lakonan dihentikan kerana tiada masa dan tiada tawaran yang sesuai. Jujur dia meluahkan minat pada lakonan semakin pudar kerana asyik menyiapkan laman web saya, juga empat buah buku yang akan dilancarkan tahun hadapan. “I’m a full time mom and part time everything else. Yes I’m blessed to be doing what I love!” Jelas Wardina.


BERPANTANG UNDUR SEBELUM KALAH
Wardina oh Wardina... Ujian sebagai anak seni multi rona namun terbaharu kehadirannya menyertai sebuah majlis untuk berkongsi informasi keibubapaan telah disalah ertikan kononnya menyokong parti pembangkang. Niatnya dimanipulasi dan ketenangan hidupnya sedikit terganggu namun bukan dirinya untuk mengalah tanpa berjuang.

“Ada orang berpesan pada saya, ‘If people talk about you, take it as a compliment - because it means, you’re worth talking about’.

Saya sudah lali dan adatlah dunia popular ni. Ada orang suka dan ada orang tidak, itu hakikat yang perlu diterima. Selagi bukan kontroversi yang melibatkan maruah diri, saya masih boleh bertahan. Saya yakin dengan diri, setiap kata-kata dan apa yang dilakukan. Pertolongan daripada Allah merupakan kekuatan pada saya dan kita semua. Al Quran merupakan penawar hati dan segala masalah di dalam jiwa. Teringat petikan di dalam Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi saya iaitu ’Jika Allah menolongmu maka tiada siapa yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah tidak menolongmu maka siapakah yang dapat menolongmu. Oleh itu kepada Allah sahajalah orang mukmin bertawakkal. Pastikan hubungan dengan Allah baik dan there's nothing to be scared off, InsyaAllah. Kalau berbuat salah, maafkan diri dan belajarlah dari kesilapan itu. ”

INSPIRASI GAYA
Menyentuh perbualan mengenai inspirasi gaya sebagai muslimah sejati, katanya dia bukanlah mangsa fesyen yang taksub bergaya mahal hingga hilang citarasa. “Saya bukanlah orang yang mengikut trend terkini. Saya selesa dengan diri saya malah saya tidak perlukan beg tangan, baju mahal atau memandu kereta mewah agar dihormati. “Yes.. saya kelihatan menarik di majlis-majlis tertentu tapi matlamat saya hidup bukan untuk nampak ‘cantik’ di mata orang.Saya sudah tidak lagi obses dengan keperluan untuk ditayang pada orang lain. Material tidak menjadikan saya yakin dan terasa diri berharga. Sebab itu fesyen saya ringkas dan sangat sederhana. Saya selesa berjalan tanpa secalit solekan dan berjubah hitam kerana saya wanita yang penuh misteri. Itulah Wardina yang anda harus kenali.” Ujarnya yang tidak menetapkan mana-mana pereka setiap kali menempah busana yang eksklusif tidak kiralah untuk sebarang majlis.

DATIN NOR ALIAH LEE, DIAM-DIAM UBI BERISI
Pertama kali bersua dengan Datin Nor Aliah Lee bt Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Vee memberikan satu aura istimewa. Wajah dan susuk tubuhnya umpama anak dara meskipon telah melahirkan 5 orang cahaya mata. Edisi kali ini merupakan kali keempat beliau menghiasi kulit hadapan NONA. Ya, bukan senang untuk menjadi muka wajah hadapan sesebuah majalah namun aura dan kematangan identiti Datin Nor Aliah Lee menambat hati kami untuk mengabadikan wajahnya buat edisi bumper sempena bulan terakhir usia NONA 25 tahun. Jika dahulu beliau agak kerap mengisi ruang-ruang televisyen sebagi seorang pelakon, kini wajahnya jarang dapat kita lihat di kaca televisyen melainkan akhbar ataupun majalah. Namun kehilangannya bukanlah kerana merajuk, tetapi beliau lebih suka untuk berada di belakang tabir. “Tahun ini sahaja syarikat saya Padi Pictures Sdn Bhd telah menerbitkan drama seram yang ke udara disaluran TV3 yang berjudul ‘Mentera Anjasmoro’ diikuti dengan telefilem sambungan drama bersiri tersebut yang juga disiarkan di stesen TV berkenaan dan nantikan kemunculan ‘Amukan Pocong’ yang bakal menemui penonton tahun hadapan” ujar beliau. Antara drama lain yang diterbitkan tahun ini adalah ‘Antara Dua’ yang disiarkan di saluran TV9 dan ‘Puding Bling-Bling’ buat penonton Astro Warna. Pada awal tahun hadapan pula, beliau akan memulakan penggambaran sebuah drama bersiri bergenre aksi cemas yang diberi judul ‘Dimana Juwita’.

DUNIA LAKONAN DAN PENERBITAN
Masih segar dalam ingatan penulis apabila berbicara mengenai dunia lakonan di mana Datin Nor Aliah Lee memegang watak utama sebagai Aishah di dalam filem ‘XX Ray’. Lakonannya yang bersahaja ditambah pula dengan senyuman menawan, pasti menarik hati setiap mata yang memandang. Ahh, rindu untuk melihat beliau beraksi semula di hadapan kamera. Apabila ditanya mengenai dunia lakonan, adakah beliau tercabar dengan kehadiran ramai pelakon baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Beliau menepis kenyataan itu dengan menyatakan bahawa setiap pelakon mempunyai identiti mereka yang tersendiri. Tidak timbulisu tercabar dek kemunculan pelakon baru,apa yang penting setiap watak yang diterima akan dihayati dengan sebaik mungkin mengikut gayanya yang tersendiri. Dari sudut penerbitan juga beliau merasakan semua pengarah di Malaysia amat mengalu-alukan kehadiran pengarah-pengarah muda yang berbakat. Apabila ditanya mengenai apa yang paling ingin dilakukankan di dalam kedua-dua bidang yang diceburi, beliau seraya berkata “Saya mula berkecimpung dalam bidang seni sejak tahun 1991. Telah banyak saya lalui baik dalam bidang lakonan juga dalam penerbitan. Dari sudut lakonan, dulu saya teringin melakonkan watak aksi. Impian saya tinggal impian je lah... (sambil gelak). Dari sudut penerbitan pula, Alhamdulillah....Saya bersyukur dengan setiap pencapaian yang sedia ada. Namun sebagai manusia, kita sentiasa ingin meningkatkan lagi mutu dan prestasi dalam kerjaya kita. Saya mempunyai matlamat menerbitkan pelbagai genre cerita sebagai medium ilmu perantara kepada penonton bukan hanya sekadar hiburan kosong semata mata”. Kata-katanya jelas menunjukkan visi yang ada dalam mindanya.

RIAS DIRI, RIAS WAJAH, CANTIK EMOSI
Setiap wanita yang di lahirkan didalam dunia ini mendambakan segala yang cantik begitu juga dengan personaliti ini. Beliau amat mementingkan amalan kesihatan, kerana baginya tubuh badan harus dijaga supaya minda dapat berfungsi sepenuhnya. Katanya bersenam adalah perkara paling penting untuk mengekalkan bentuk tubuh badan dan pemakanan yang seimbang mampu membantu seseorang wanita itu untuk tampak lebih cantik. Ujarnya lagi, wanita seharusnya memilih produk kecantikan yang sesuai dengan kulit wajah dan bukan terpedaya dengan iklan semata-mata. Jika tersilap memilih produk wajah sendiri akan merana.

Apabila ditanya mengenai fesyen yang digemari wanita yang memiliki senyuman manis ini terus menjawab “Saya memang suka mengikuti fesyen-fesyen terkini. Pilihan saya untuk harian adalah lebih kepada ala-ala bersantai. Saya lebih selesa berseluar jeans dan kemeja. Untuk ke jamuan pula, ikut padadress codenya. Saya menyukai gaya yang ringkas tetapi elegan”. Oleh itu, pereka terkenal tempatan Syaiful Bahrim menjadi pereka kesukaan beliau. Kecantikan diri dan wajah juga bergantung kepada kestabilan emosi, sebagai manusia kita tidak pernah lari dari masalah, Datin Nor Aliah Lee memiliki pendapatnya yang tersendiri bagaimana untuk menghadapi situasi ini “Bagi saya jika saya berasa tertekan kerana masalah, saya akan menyendiri untuk memikirkan kesilapan saya terlebih dahulu. Dengan cara ini, ia memberi saya ruang untuk berfikiran lebih positif bagi menangani sebarang masalah yang melanda”.
“Kepercayaan dan kejujuran adalah aspek utama dalam kebahagian rumahtangga”

SELAMAT DATANG 2012
Tahun baru bakal menjelma dan setiap individu pasti memiliki perancangan untuk tahun yang bakal mendatang, Isteri kepada Datuk Mohammad Zekri Ibrahim ini hanya menjawab ringkas mengenai perancangan tahun barunya, “Perancangan masa hadapan saya adalah lebih tertumpu kepada masa depan anak-anak saya. Anak-anak saya kini sedang meningkat dewasa dan inilah masanya untuk saya memberi tumpuan yang lebih kepada mereka”.


No comments:

Post a Comment