6 November 2011

Sayu Lihat Lautan Jemaah Haji Wukuf Di Arafah


Daripada Mohamad Bakri Darus
MEKAH, 5 Nov (Bernama) — “Rasa sayu melihat lautan umat Islam dan betapa besarnya kekuasaan Allah SWT.” kata Zid Omar, seorang jurufoto agensi berita yang membuat tinjauan udara keadaan kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berwukuf di Arafah pada Sabtu.
Zid, daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), bersama beberapa rakan jurufoto dari negara-negara Islam, berpeluang menaiki helikopter bagi meninjau seluruh kawasan Arafah.
Jemaah berpakaian ihram yang terdiri daripada dua helai kain putih yang tidak berjahit bagi lelaki dan wanita berpakaian sesuai, tidak putus-putus mengucapkan talbiyah “Labbaika Allahumma Labbaik” yang bermaksud “HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah”.


Cuaca panas terik tidak menghalang jemaah menadah tangan memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT, selepas mendengar khutbah yang menjadi salah satu pengisian wukuf.
Wukuf yang jatuh pada 9 Zulhijjah merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh jemaah, termasuk bagi mereka yang sakit walaupun seketika.
Waktu wukuf ialah apabila masuk waktunya iaitu bermula dari gelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) pada 9 Zulhijah sehingga seketika sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh/waktu Arab Saudi) 10 Zulhijah.
Di sekitar Masjid Namirah, lokasi bersejarah yang menjadi tempat perkhemahan Rasulullah dan sahabat baginda sebelum tiba waktu untuk wukuf, kelihatan ribuan manusia.
Situasi sama juga kelihatan di lokasi bersejarah lain seperti (Bukit) Jabal Rahmah, di kaki bukit inilah terdapat batu tempat Rasulullah berwukuf.
Selain yang berjalan, terdapat jemaah yang duduk di dalam ratusan ribu khemah yang didirikan di padang tersebut.
Kerajaan Arab Saudi telah menanam lebih 100,000 pokok bagi menyegarkan udara dan menjadi tempat jemaah berteduh.
Selain kawalan keselamatan dan lalu lintas yang rapi, kelihatan juga helikopter digunakan untuk memantau keadaan di sekitar Arafah.
Selepas waktu Maghrib, jemaah akan bergerak meninggalkan Arafah bagi mengerjakan ibadah haji seterusnya iaitu bermalam di Muzdalifah, melontar tiga jamrah di Mina, tawaf dan saei.

1 comment:

  1. sama-sama kita berdoa dan impian untuk menjejakkan kaki dan beramal di bumi Mekah..

    ReplyDelete

Social Profiles

Twitter Facebook Google Plus LinkedIn RSS Feed Email Pinterest

Copyright © NurFarizan.Com