18 November 2011

Siap sedia hadapi banjir




siap sedia hadapi banjir
MUAR – Pejabat Daerah Mu­ar kini bersiap sedia mengha­da­pi sebarang kemungkinan berlakunya banjir di daerah itu ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu setiap masa.

Sebagai persiapan, pejabat tersebut telah menyediakan hampir 50 pusat pemindahan bagi menempatkan kira-kira 17,400 mangsa banjir dari 11 mukim jika berlaku banjir pada tahun ini.

Pegawai Daerah Muar, Am­ran Abdul Rahman berkata, Jawatankuasa Pen­gu­ru­san Bantuan Bencana Banjir telah menubuhkan 15 pusat sim­panan makanan yang akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, ia melibatkan kerjasama daripada pelbagai jabatan kerajaan antaranya, pihak polis akan men­­­gerahkan 550 anggota dan 47 pegawai bertugas bagi meningkatkan kawalan kese­lamatan, memindahkan mang­­sa banjir dan memastikan keselamatan mangsa terjamin.

“Kami telah merangka pelbagai langkah-langkah kese­lamatan dan pelan pemindahan bagi menyelesaikan masalah banjir yang dijangka melanda pada akhir tahun ini dan awal tahun depan.

“Saya harap semua jabatan kerajaan di daerah ini akan terlibat sama membuat persediaan menghadapi bencana termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya kepada Sinar Harian.

Amran, yang juga Jawa­tan­kuasa Pengurusan Bantuan Ben­­cana Banjir berkata, polis akan menyediakan empat perahu dan 47 kenderaan, termasuk trak-trak yang akan digunakan ketika bencana.

“Jabatan Bomba dan Pe­nye­lamat pula akan menyediakan satu bot dan 17 kenderaan, manakala Pasukan Ge­­rakan Am (PGA) Batalion 6, Bakri menyediakan tiga bot dan 17 trak.

“Bukan itu sahaja, PGA juga menyediakan 50 anggota polis dan lima pegawai untuk bersiap sedia bertugas bagi membantu kerja-kerja pemindahan mangsa banjir,” katanya.

Katanya lagi, anggota tentera dari Batu Tiga Kluang turut terlibat dengan menempatkan bot-bot dan kenderaan mereka di Bukit Kepong.

“Tiga pusat operasi banjir dibuka di Bukit Kepong, Pagoh dan Bukit Pasir bagi meleng­kapkan keperluan logistik serta data terkini mengenai keadaan banjir di setiap kawasan.

“Ketika bencana banjir 2006-2007, pejabat ini hanya membuka dua pusat operasi banjir di Pagoh dan Bukit Pasir, kini kami ambil keputusan membuka satu lagi pusat operasi di Bukit Kepong,” katanya.

Katanya, berdasarkan pen­­ga­laman bencana banjir besar yang lalu, kesemua jalan di Bukit Kepong terputus dan menyukarkan pasukan bantuan untuk menghulurkan bantuan ke kawasan pusat pemindahan.

Selain itu, perancangan terkini kami akan menyimpan stok keperluan logistik di pusat tersebut di Bukit Kepong sebelum banjir berlaku.

Katanya lagi, selain pemindahan dan langkah-langkah keselamatan, jawatankuasa berkenaan juga akan meng­­kaji bekalan air minuman serta keperluan-keperluan bekalan elektrik.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Pertanian Da­erah akan memantau ternakan lembu, kambing dan ayam supaya tidak musnah dalam bencana banjir kali ini.
“Bagi sekolah yang terlibat dalam banjir akan diberikan arahan khusus mengenai perkara yang perlu pihak sekolah lakukan.

“Kami telah menyediakan pelan terperinci menghadapi banjir pada tahun ini dan berusaha melakukan yang terbaik bagi mengurangkan beban orang ramai,” katanya

0 comments:

Post a Comment