1 February 2012

Lisa Surihani Artis Paling Popular Di Facebook




PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani masih lagi kekal mendahuli senarai artis Malaysia yang mempunyai jumlah pengikut yang paling ramai di laman sosial Facebook iaitu sebanyak 1,902,487.
Angka pengikut di Facebook bintang filem Ombak Rindu itu menerima saingan sengit daripada pelakon Scha Al-Yahya yang menduduki tangga kedua iaitu sebanyak 1,339,837 pengikut sekaligus membuktikan keutuhan Lisa sebagai antara bintang muda yang paling popular.
Lisa berkata, dia bersyukur kerana mempunyai pengikut yang ramai dan sebagai tanda penghargaan, dia akan berinteraksi dan berkongsi perkembangannya sekerap yang mungkin untuk peminat.
“Lazimnya, laman Facebook adalah medium untuk saya berkongsi perkembangan kerjaya manakala Twitter pula lebih bersifat peribadi untuk berkongsi pandangan dan kehidupan.
“Saya pun tidak sangka akan diikuti dengan jumlah peminat seramai itu. Apa pun, saya bersyukur kerana ramai yang ingin mengikuti perkembangan kerjaya saya.
“Kesibukan dengan tugasan ada kalanya menghalang saya untuk sentiasa berinteraksi namun saya tetap akan cuba mengemas kini perkembangan sekerap yang mungkin,” katanya.
Bagaimanapun, perkembangan berleluasa media sosial ini juga tidak terkecuali daripada anasir-anasir negatif.
Kesan bergelar orang popular menjadikan dia berhadapan dengan pelbagai perkara buruk termasuklah menjadi mangsa pemalsuan identiti di medium itu.
Graduan Undang-Undang dari Aberystwyth University di Wales, United Kingdom ini boleh dikira sebagai salah seorang pelakon wanita tempatan yang paling popular sejak memulakan kariernya pada tahun 2007.
Selain Lisa dan Scha, pelakon Awal Ashaari menduduki di tangga ketiga dengan jumlah pengikut sebanyak 979,678 diikuti pula dengan Shaheizy Sam (932,412), Diana Danielle (862,557), Farid Kamil (658,595) dan Datuk Siti Nurhaliza (440,504).
Sementara itu, Lisa juga masih lagi menjadi selebriti paling ramai pengikut menerusi laman Twitter miliknya dengan jumlah sebanyak 507,813 diikuti dengan Scha (273,916), Awal (243,501), Sam (347,501), Siti (286,150) Diana (121,103) dan Farid Kamil (48,636).

0 comments:

Post a Comment

Social Profiles

Twitter Facebook Google Plus LinkedIn RSS Feed Email Pinterest

Copyright © NurFarizan.Com