Uniknya Tat Nasi Ayam
Hidangan nasi ayam sememangnya tidak asing bagi penggemar makanan tempatan. Ekoran daripada permintaan tinggi, lahir sebuah perniagaan Tat Nasi Ayam yang diasaskan oleh Mukhtar Abdul Ghani atau lebih dikenali de­ngan nama Abang Tat.

Menurut pemilik cawangan Cyberjaya, Siti Izwana Syed Ismail, antara kelainan ditampilkan Tat Nasi Ayam ialah menyajikan nasi ayam dengan seratus peratus resipi Melayu.

“Kebanyakan nasi ayam adalah nasi ayam Hainan. Jadi, atas faktor ini saya tampil memperkenalkan menu nasi ayam menggunakan resipi Melayu sepenuhnya. Resipi ini adalah turun temurun daripada pengasas. Kami mempunyai ramuan tersendiri termasuk sup dan nasinya,” katanya.

Beliau berkata, cawangan itu diusahakan bersama tiga rakan kongsi dan diuruskan oleh suaminya, Ahmad Hafizzudin Nordin.

Walaupun masih baru, sambutannya sungguh menggalakkan. Justeru itu, Siti Izwana optimis menjual 400 pinggan ayam sehari bagi bulan pertama perniagaannya ini.

“Setakat ini kami menjual lebih 200 pinggan ayam sehari, dan jumlah ini dilihat meningkat setiap hari, lebih-lebih lagi kami menerima kunjungan pelanggan yang sangat ramai apabila waktu tengah hari,” katanya.

Katanya, dia akan membuka sebuah lagi cawangan di Putrajaya menjelang awal tahun depan.

Sementara itu, restoran ini mempunyai 16 cawangan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Selangor.