Follow Us @soratemplates

17 June 2012

Israk Mikraj Menguji Iman


Kehebatan peristiwa luar biasa Israk dan Mikraj yang telah berlaku sejak 15 abad yang silam  masih terasa sehingga saat ini. Saban tahun ketibaan bulan Rejab disambut pelbagai lapisan masyarakat Islam negara ini dengan mengadakan majlis-majlis memperingati keagungan peristiwa ini.

    Sesungguhnya bagi orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, mereka menerima peristiwa ini dengan hati yang terbuka dan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah SWT yang Maha Besar dalam merealisasikan takdir ciptaanNya.

    Israk dan Mikraj merupakan mukjizat yang tidak ada syak dan ragu yang telah dianugerahkan khusus buat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, sekalipun ianya menyalahi hukum alam dan logika akal manusia. Allah Ta'ala berfirman dalam Al-Quran Surah Al-Israa' ayat 1:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
    
 Perjalanan dari Masjidil Haram Makkah ke Masjidl Aqsa Palestine seterusnya menuju ke Sidratul Muntaha dan Baitul Makmur,  Baginda Rasullullah S.A.W bersama Malaikat Jibrail A.S. telah melintasi semua lapisan langit dan bertemu dengan para ambiya' terdahulu sehingga kemuncaknya baginda Nabi Muhammad S.A.W mengadap Allah S.W.T untuk menerima perintah khusus dan istimewa buat diri dan ummatnya iaitu kewajipan menunaikan 5 solat fardu sehari semalam.

    Kekuasaan dan Kebesaran Allah S.W.T terserlah menerusi peristiwa ini dan ianya menundukkan keingkaran dan kekufuran bangsa Arab yang sentiasa membantah dan menolak kebenaran risalah Ad-Din yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W agar tunduk dan patuh kepada segala titah perintah Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan dan keimanan.

    Hikmah dan tujuan utama peristiwa Israk dan Mikraj adalah agar umat Islam mewujudkan hubungan dengan Allah S.W.T menerusi ibadah utama yang wajib dilaksanakan iaitu solat. Ibadah solat merupakan pokok keimanan yang perlu ditunaikan secara tekun dan berterusan dalam apa jua keadaan dan tempat.

    Ibadah solat merupakan pasak atau tiang agama, ianya perlu ditegakan dalam setiap diri individu muslim. Tanpa ibadah solat dalam kehidupan harian bererti robohlah keutuhan iman dan agama seseorang insan.
    Solat merupakan pembeda insan muslim dan bukan muslim; sesungguhnya ibadah solat yang dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan tawadhuk menjadi perisai pencegahan berlakunya perbuatan-perbuatan dan perkara-perkara keji dan mungkar.

    Era globalisasi yang menampilkan kecanggihan sains dan teknologi serta kepesatan pembangunan kebendaan menjadi kehidupan insan muslim dalam pelbagai bidang dan lapangan senantiasa menagih komitmen masa yang amat tinggi dan mencabar. Lantaran dari itu, ramai dari kalangan insan muslim tertewas dengan asakan kebutuhan keperluan kehidupan harian sehingga terabai dan meninggalkan kewajipan utama dalam agama Islam iaitu solat.

    Ajaran Islam tidak pernah memingirkan keperluan dan kepentingan kehidupan di dunia malah ianya amat menekan setiap insan muslim agar berusaha dengan gigih dalam mencapai kesejahteraan dan kebahagian kehidupan di dunia ini berlandaskan hukum syarak Islam yang syumul.

    Keyakinan dan keimanan yang jitu ke atas peristiwa Israk dan Mikraj menjadi asas ke arah pembentukan insan rabbani dan masyarakat madani yang terpelihara dari segala anasir dan sifat-sifat mazmumah seterusnya berupaya menzahirkan ketinggian dan keunggulan ajaran Islam.

Disediakan oleh:
Mohd Yusof Ong bin Abdullah 
Bahagian Dakwah, JAIS

No comments:

Post a Comment