22 October 2012

Setelah Jatuh Cinta..Bangunkan Cinta ..

JATUH CINTA

Ramai pasangan membuka kunci kehidupan berumah tangga dengan rasa cinta antara mereka.

Jatuh cinta! Ya, bermula dengan jatuh cinta pandang pertama atas sebab yang pelbagai sehingga ikhtiar dilaksanakan bagi memulakan salam perkenalan antara keduanya. Setelah dua jiwa yang saling mencintai diikat dengan lafaz mulia 'aku terima nikahnya' mereka mula membina kehidupan bersama.

Berbekal perasaan cinta yang masih membara, serasa tidak begitu menyukarkan untuk mereka melakar musim bunga perkahwinan yang dipenuhi warna-warni keindahan. Kalau pun sesekali hujan gerimis datang tanpa diundang, keadaan itu tidak merencatkan kegembiraan mereka menikmati kuntuman mewangi yang sedang mekar dalam hati. Masalah yang timbul, pasti tidak memakan masa lama untuk dileraikan.

Semuanya tampak selari, sehati sejiwa. Begitulah kebiasaannya, permulaan yang bagai sempurna, tiada cacat dan cela. Walaupun begitu mukadimahnya, kini antara mereka ada merasa kasih suami sudah beralih arah setelah segala pengorbanan dilakukan sejak melangkah ke alam perkahwinan. Ada juga yang meluah sikap suami yang kurang memberi belaian tanda cinta dan sayang.

Tidak kurang pula yang menyatakan sudah tidak tahu bagai mana lagi usaha yang patut dilakukan bagi meraih cinta suami sedangkan kecantikan dirinya begitu dijaga dan diperhati namun layanan acuh tak acuh daripada suami menjadikan dirinya merasa kurang dikasihi.



Bagaimana ia terjadi ?

Justeru, dalam keadaan rumah tangga dihenyak kegelisahan dan ketidakharmonian seperti di atas, beberapa perkara di bawah ini mungkin baik untuk dijadikan muhasabah dan renungan terutama kepada para isteri bagi membangun cinta sejati, buat merialisasikan bahagia hakiki. Kemungkinan, sebaik melangkah ke tahun kedua, ketiga dan seterusnya setelah tanggungjawab bertambah dengan kehadiran cahaya mata, keperluan kewangan yang semakin meruntun kerja keras dan lebih masa, maka ketika inilah saat-saat indah andai tiada inisiatif untuk membangunkan cinta setelah sekian lama terduduk leka saat diri jatuh cinta.

Satu persoalan yang selalu terlupa oleh pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan ialah tentang keberkatan rumah tangga. Seharusnya, suami sebagai nakhoda bahtera kehidupan, dan isteri selaku pembantu yang menggerakkan pelayaran, bertanya kepada diri :

"Ke manakah rumah tangga ini akan kami bawa ?" Komitmen bagaimana yang mampu dilaksanakan bagi menjayakan matlamat bahagia bersama?" "Adakah hanya di dunia ? Tidak! kebahagiaan itu pasti mahu diteruskan hingga ke syurga milik-NYA."

Seperti firman Allah SWT yang bermaksud : "Jikalau sekiranya penduduk desa / negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah kami anugerahkan kepada (kehidupan) mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah Al-A'raf ayat 96)

Jelas, dari ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa keimanan dan ketakwaan adalah sumber barakah. Ia dijana apabila nilai-nilai yang diambil dari Al-Quran dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Dalam hal ini, bukan kemewahan dan kesenangan hidup menjadi piawaian barakah. Bukan juga rumah tangga sifar masalah menjadi tanda aras keberkatan, tetapi keterikatan hati penghuninya kepada ayat-ayat Allah SWT.

DOA DAN MUNAJAT

Justeru, sebagai isteri yang lebih banyak mencorakkan suasana rumah tangga mari kita renungkan sekadar mana usaha yang telah dan masih dijana demi meraih barakah dalam perkahwinan. Sudah berapa banyak kebaikan dan ketaatan kita gerakkan kerana kita adalah langkah-langkah bagi meraih keberkatan.

Solat dan ibadah-ibadah lain yang terjaga dan dilaksanakan sebaiknya, perhiasan rumah tangga yang tidak melangkaui keharusan yang digariskan syari'at yang mulia, program televisyen dan filem yang menjadi tontonan sekeluarga, dan seumpamanya.

Semestinya rumah tangga yang paling beruntung menurut kaca mata agama adalah rumah tangga yang paling banyak produktiviti ketaatannya kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, hati yang akrab kepada Penciptanya, pasti mudah dilorongkan kepada jalan keluar atas setiap masalah yang tiba. Bahkan, ia mungkin menjelma dari peristiwa dan jalan yang tidak pernah dijangka!

BANGUN SETELAH JATUH

Kebenaran bicara seorang penulis dari seberang yang pernah saya baca. Lewat tulisannya beliau menukilkan : "Ada dua pilihan ketika bertemu cinta. 'Jatuh' cinta dan 'bangun' cinta. Untuk dirimu, aku memilih cinta yang kedua, supaya cinta kita menjadi istana, tinggi menggapai syurga!"

Untuk itu, marilah para isteri.. kita jadikan bidadari syurga sebagai ikon dan role model yang membangkitkan motivasi untuk memperbaiki diri, manfaatkan kerendahan diri sebagai hamba sewaktu bermunajat kepada Ilahi dan usahakan keberkatan dalam setiap aktiviti rumah tangga agar kemelut rasa yang melanda, akan menemui jalan keluarnya, dan kebahagiaan hakiki menjadi milik kita.

Setelah jatuh cinta, kita bangunkan cinta berpaksi reda-Nya. Dan buat suami yang dikasihi.. bersamamu isterimu ini pernah jatuh cinta dan dengan izin serta rahmat-Nya, kita akan terus bangunkan cinta ini sehingga lestari ke syurga yang abadi, Insya Allah.. ameen.





Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Cerita Asal : Noraslina Jusin  |  Majalah i



LATIHAN KERJAYA PENGURUSAN PEJABAT : Menjalankan tugas-tugas perkeranian selaras dengan fungsi jabatan/bahagian yang berkenaan seperti tugas-tugas penyelenggaraan fail/dokumen, pengiraan, laporan bulanan, statistik serta penyediaan dll. Kami sedia latih anda bagi Sesi Nov 2012. Lebih 5000 pelajar telah bekerja di jabatan kerajaan dan sektor swasta. Tempat Terhad. Pertanyaan 01115116182 (CF) / 0179270891 (En Muaz). Kisah Kejayaan graduan IPM layari www.ipmmunshi.com

0 comments:

Post a Comment

Social Profiles

Twitter Facebook Google Plus LinkedIn RSS Feed Email Pinterest

Copyright © NurFarizan.Com