15 November 2012

Cepat dimasak, sedap dimakan!


Begitulah efektif dan mudahnya penyediaan makanan ini.

Bertepatan dengan konsep ‘segera’ maka ia menjadi pilihan hampir sebahagian besar dari masyarakat kita. Hakikatnya, adakah mi segera ini mampu mendatangkan manfaat nutrisi buat kita?

MI SEGERA: ketahui kesan buruknya pada kesihatan

Mi segera adalah hasil ciptaan Momofuku Ando dari Nissin Food, Jepun sekitar tahun 1950-an yang lalu dan lebih dikenali sebagai ‘ramen’. Hingga kini permintaannya terus meningkat bersama kepesatan pembangunan di kebanyakan negara utama dunia.

Peningkatan permintaannya di negara Asia juga semakin hebat bermula tahun 1995 lagi. Walaupun ramai yang menyedari akan keburukannya tetapi dek desakan masa, hal itu dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Menurut statistik yang dikeluarkan di dalam laman sesawang Persatuan Pengguna Pulau Pinang, kira-kira 870 juta bungkus mi segera diambil oleh rakyat Malaysia pada tahun 2004 dan jumlah ini meningkat kepada 1,210 juta bungkus pada tahun 2008. Ini merupakan peningkatan hampir 40% dalam masa empat tahun dan ia amat membimbangkan.

Mi segera adalah mi separa masak yang dikeringkan dan dicampur dengan minyak, biasanya dimakan setelah masak atau direndam di dalam air panas antara 3 hingga 5 minit. Bungkusan perencah selalunya disertakan didalam setiap bungkusan mi segera. Mi segera juga boleh dimakan secara mentah kerana mi segera sebenarnya sudah pun dimasak di kilang, biasanya dengan teknik menggoreng.

MI SEGERA: banyak buruk dari kebaikan nutrisi

Menurut Ron Konzak, pengarang buku ‘The Book of Ramen’, bahan perencah dalam mi segera itu yang sebenarnya mendatangkan keburukan kerana tinggi kandungan MSG dan bukannya mi tersebut.

MSG @ Monosodium Glutamate, adalah bahan penambah perisa yang memberikan rasa manis, masam dan masin kepada kuah mi segera anda. Bahan perisa ini biasanya sangat tinggi dengan kandungan garam dan mempunyai pelbagai kesan negatif kepda kesihatan terutamanya terhadap fungsi buah pinggang.

Kenyataan ini turut disokong Stephanie Brooks, seorang pakar dietetik dan San Francisco. Menurut Stephanie, MSG mampu memberikan reaksi alahan bagi sesetengah individu dengan purata 2-5% bagi kandungan populasi di negara yang berbeza.

Individu yang alah kepada kandungan MSG ini akan cenderung mengalami rasa panas di dada, perubahan warna wajah kepada sedikit merah atau dilanda sakit kepala selepas mengambil produk yang mempunyai MSG. Bagaimana pun ada yang tiada kesan alahan kepada MSG ini bukanlah bererti anda perlu mengabaikannya. Ini kerana tambah Stephanie lagi, kebanyakan bahan penambah perisa di dalam mi segera juga tinggi kandungan sodium.

Menurut satu kajian yang dilakukannya berdasarkan tiga sampel mi segera (berlainan jenama) mendapati bahawa satu kajian mi segera mengandungi anggaran 687 hingga 830mg sodium. Jumlah ini adalah pada purata 28% hingga 34% dari pengambilan sodium yang disarankan bagi individu yang mengamalkan diet 2000kcal sehari.

Selain itu, bagi setiap hidangan juga mengandungi anggaran 7 hingga 17gram dari jumlah lemak keseluruhan (11-17% dari purata lemak yang disarankan dalam diet seharian). Selain itu, kajian tentang kandungan sodium natrium di dalam mi segera itu turut dilakukan di Malaysia.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris dalam satu laporan akhbar sebelum ini, kajian CAP ke atas 10 sampel mi segera mendapati tiga daripadanya mengandungi lebih 1,000 miligram sedangkan saranan untuk orang dewasa dan kanak-kanak berusia empat tahun adalah 2,400 miligram sehari.

Kandungan dioxin dan plasticzers terkandung di dalam pek pembungkusan (biasanya dalam bentuk mangkuk dan cawan) juga dikatakan mampu mempertingkatkan risiko serangan kanser di kalangan pengguna. 

Bahan kimia ini akan melarut di dalam air panas dan akan menjadi merbahaya terutamanya jika anda menikmati hidangan terus dari mangkuk tersebut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencegahan kepada semua jenis kanser mampu dielakkan sekurang-kurangnya 30 peratus jika kita mengamalkan diet yang sempurna dan menjauhkan segala gejalanya.

Gambar : carian google 















0 comments:

Post a Comment