Follow Us @soratemplates

16 November 2012

Lengkapkan diri dengan ilmu sebelum berkahwin


Menikmati alam berumahtangga memang menyeronokan. Namun harus diingat, berumahtangga bukan perkara main-main atau sekadar suka-suka saja. Melayari rumah tangga kenalah ada ilmu yang mencukupi serta penuh rasa tanggungjawab suami dan isteri, barulah seronok.

Seperti mengemudi kapal merentasi gelombang dan badai yang datang tanpa diduga. Sebaik-baiknya, mereka yang sudah ada calon dan bersedia untuk berumahtangga mengikuti kursus rumah tangga dengan mendalam sebagai persediaan.

Ada banyak syarikat pengendali kursus perkahwinan boleh dipilih yang melaksanakan program kursus perkahwinan mengikuti modul yang dilulus oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Memanglah penting mendapat sijil bagi melayakkan seseorang berkahwin, tetapi mendalami ilmu perkahwinan lebih mustahak kerana tujuan kita berkahwin bukan untuk hidup bersama pasangan selama sehari dua, tetapi seboleh-bolehnya biarlah sampai ke akhir hayat.

Biarpun kursus yang ditawarkan Cuma jangka pendek, namun sedikit sebanyak ia mampu memberi gambaran sebuah perkahwinan secara umum. Bagi mendapatkan lebih banyak ilmu, banyakan mentelaah bahan bacaan yang menjurus kepada perkahwinan sama ada dari aspek agama, sahsiah, ekonomi, hubungan sosial, hubungan kelamin, keibubapaan dan kesihatan dalam perkahwinan.

Begitu juga dalam mengendalikan masalah atau perbuatan yang bersangkutan syariah juga penting diketahui. Pembelajaran adalah satu  kerja yang berterusan kerana ilmu mengenai perkahwinan sangat luas dan mendalam. Bagaimanapun ilmu saja belum cukup menjadi faktor penentu kepda wujudnya sebuah rumah tangga idaman kalau ia tidak dimanifestasikan ke dalam dunia perkahwinan yang nyata.

Kepada pasangan yang beragama Islam, bagi mendapatkan sebuah rumah tangga yang diberkati mereka perlu sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Bermakna pasangan hendaklah sentiasa mengguna pakai kaedah dan jalan yang sudah ditetapkan Allah seperti yang diajar daripada Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w  barulah rumah tangga memperoleh bahagia.

Ini termasuklah cara suami melayani kerenah isteri, cara isteri melayani dan menggauli suaminya, pendidikan terbaik untuk anak, mencari sumber yang halal untuk keperluan ekonomi, pakaian dan makan minum. Begitu juga etika dalam menjaga hubungan dengan ibu bapa mentua, ipar dan sanak saudara.

Ukuran bahagia ada kala tidak dapat diukur pada pandangan mata fizikal tetapi kepada hati yang merasainya. Perlu diketahui dalam mengendalikan sebuah rumah tangga ia tidak boleh dilakukan secara bersendirian sebaliknya mesti diusahakan secara bergandingan bahu antara suami mahu pun isteri. 




1 comment: