Follow Us @soratemplates

10 November 2012

Mengapa Lupa..

Artikel ini telah lama tersimpan dalam simpanan CF  pada 02.08.2010. Sekadar ingin berkongsi dan untuk rujukan CF di masa akan datang.


Masih kita bercerita tentang daya mengingat. Bagi saya ingatan yang baik menggambarkan minda yang cemerlang. Kejayaan bermula daripada minda yang sentiasa bersedia untuk menerima sebarang informasi dan diuji dalam suasana apa saja.

Menurut kajian Dr. John von Neumann, seorang pakar teori matematik, otak manusia mampu menampung ingatan sebanyak 280 quintilion (280, 000, 000, 000, 000, 000) butir data.

Sebuah buku lama yang diterbitkan di Amerika Syarikat mengatakan hampir semua orang ingat apa yang dilakukan oleh dirinya tatkala Presiden Keneddy ditembak. Alasan yang diberi ialah kerana setiap orang telah memberikan perhatian yang lebih besar daripada biasa.

Beberapa orang pakar juga meyakini bahawa penghasilan cairan kimia otak yang dikeluarkan selama waktu emosinya meluap atau tegang berpengaruh terhadap pembentukan daya ingatan tetap.

Seorang hafiz Ustaz Nursalam memberitahu, di antara pelbagai makanan dan ubat-ubatan yang sangat berkhasiat untuk menguatkan sel-sel otak supaya kuat ingatan dan cerdas ialah buah badam dan kismis.

Katanya, secara alami buah badam dan kismis mengandungi berbagaibagai zat yang sangat diperlukan bagi merangsang pertumbuhan otak manusia terutama pada tahap kanak-kanak. Masyarakat Arab dan India selalu menjadikan kedua-dua sumber ini sebagai bahan campuran dalam makanan harian mereka.

Bayangkan seseorang hafiz perlu mengingati 6666 ayat daripada 114 surah dan 30 juzuk setiap hari. Mereka dituntut supaya sentiasa membaca dan mengulang tanpa jemu untuk memantapkan lagi ingatan. Mereka perlu mengingat setiap raka’ dan hizib, setiap wakaf dan ibda’, setiap mad  dan harakat, setiap lembar dan muka surah. Mereka nampak seolah-olah ada skrin di hadapan mereka.

Amalan yang biasa dilakukan ialah 7 biji badam dan 7 biji kismis 3 kali sehari. Kemudian mereka mengamalkan doa berikut:

Menurut para hafiz juga, dosa, maksiat dan makanan haram sangat berpengaruh terhadap akal dan rasa hati manusia. Sifat-sifat seperti hasad dengki, khianat, dusta, takbur, lagha, mengumpat, memfitnah, sibuk dengan aib orang, memakan harta riba, hasil judi, rasuah dan makan makanan yang tidak pasti halal haramnya adalah juga penyebab lemahnya daya ingatan.


Mereka juga percaya dengan memakan kepala ikan dan semut akan menyebabkan lemah otak. Malah bukan setakat semut, makanan yang telah dilalui semut juga mereka tidak ambil lagi.

Seterusnya mereka juga mengamalkan sembahyang Sunat Hifzil Quran sebanyak 4 rakaat dua salam selama tujuh atau lapan kali Jumaat. Surah-surah yang dibaca dalam sembahyang itu ialah Yasiin, Ad-Dukhan, As-Sajadah dan Al-Mulk.

Kerana pentingnya daya mengingat dan besar kaitannya dengan kejayaan dan juga imaginasi saya rasa adalah lebih baik saya memanjangkan lagi pembicaraan saya tentang hal ini.

 Pernahkah anda kehilangan sesuatu yang sebenarnya tidaklah hilang, Cuma anda terlupa di mana anda meletakkannya. Saya telah bertemu dengan ramai orang yang menceritakan pengalaman masing-masing tentang peristiwa ‘kehilangan’ ini. Yang paling kerap berlaku ialah hilang kunci kereta, hilang kunci rumah, kunci pejabat, buku akaun bank, fail, dompet, malah ada yang hilang kereta. Seorang kawan saya malah lebih dahsyat kerana kehilangan isteri.
         
Sebenarnya benda-benda ini bukanlah hilang. Anda hanya terlupa di mana anda meletakkannya. Kawan yang kehilangan isteri tadi sebenarnya telah terlupa dia pergi ke pasar bersama isterinya. Maka dia telah pulang ke rumah seorang diri. Di tengah jalan baru dia ingat tentang isterinya.

Kes-kes begini bukan sahaja melambangkan rendahnya daya mengingat anda tetapi juga merendahkan kedudukan anda di tengah-tengah masyarakat anda. Jika anda seorang pelupa, dimanakah kepercayaan orang hendakanda letakkan. Jika anda tidak mampu memenangi keyakinan orang terhadap anda, bagaimanakah anda hendak membina kejayaan dalam hidup anda. Itu juga menunjukkan betapa kaburnya imaginasi yang bersarang dalam minda anda.

Mari kita ambil satu kes kehilangan kereta untuk diperkatakan. Hal ini bukanlah berlaku kepada anda tetapi kepada diri saya sendiri. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, apabila kita berada dalam tekanan yang tidak sepatutnya, kita sebenarnya tidak ubah bagaikan seketul batu yang tidak berguna. Kalau dicurahkan air ke atasnya air itu akan terpercik keluar, kalau dibalingkan kepada sesuatu akan menyakitkan, jika dibiarkan akan tersepak orang dan melukakan.

Saya telah mengalami dua kali peristiwa kehilangan kereta; pertama di Kompleks Kerajaan Pusat Bandar Damansara dan satu lagi di sebuah kompleks membeli belah di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Mengapa? Pertama kerana saya gagal merakam tanda-tanda yang istimewa yang terdapat sewaktu saya meninggalkan kereta di situ. Anda tentu dapat membayangkan keadaan tempat letak kereta di kedua-dua tempat berkenaan. Jika anda pernah mengalami peristiwa seperti saya anda akan tahu betapa cemas dan tertekannya perasaan. Dan kerana itu semakinlah anda tidak dapat berfikir dengan tenang.

Setelah berjam-jam menyusuri tempat letak kereta akhirnya bertemulah saya dengan kereta saya itu. Tidak berusik sedikit pun. Saya sangka ia tentu telah dilarikan orang atau sudah terbuka pintunya dan sebagainya lagi. Rupa-rupanya ia selamat di situ tanpa sebarang gangguan.

Sebenarnya kalau saya memberikan sedikit tumpuan dan masa terhadap apa yang boleh dilakukan oleh imaginasi, hal demikian tidak akan berlaku. Andainya saya merakam tanda-tanda yang istimewa seperti warna tiang, nombor tiang dan tingkat sebenar kereta itu saya tinggalkan, saya pasti dapat kembali kepadanya dengan mudah. Bahkan jika saya luangkan sedikit masa menoleh sebentar untuk membuat gambaran mental dari arah mana saya datang nanti, atau jika saya rakamkan sudut-sudut yang berbeza, pasti kes ‘kehilangan’ tidak akan berlaku. Kegagalan saya melibatkan pancaindera lain seperti bau yang aneh atau kebisingan yang sedia ada juga telah merumitkan proses mengesan. Saya juga telah gagal melakarkan peta minda – arah saya meninggalkan keretadan datang kembali.

Apa yang saya dan anda lakukan sepatutnya ialah:

1.       Berhenti sejenak
Berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu yang perlu diingati kemudiannya. Dalam kes menyimpan fail misalnya, sebelum meletakkan satu-satu fail ke dalam folder yang terasing ke dalam komputer misalnya, berhentilah sejenak selepas meletak itu. Ambillah masa sekitar dua saat untuk merakam perbuatan itu ke dalam minda.

2.       Fokus fikiran anda
Kemudian perhatikan setiap perkara yang di lakukan selepas itu. Jika menyimpan fail, perhatikan nama folder di mana fail itu anda masukkan. Tumpukanperhatian sekitar dua hingga tiga saat.

          Jika perlu sebutkan tindakan itu dengan kuat, seperti, “Aku simpan fail Zai ke Folder X”. Dengan melafazkan kuat-kuat, anda tidak hanya menggunakan daya fikiran, tetapi juga mata, telinga dan suara untuk mengingat sesuatu.

          Begitu juga jika anda kerap terlupa di mana anda meletakkan kunci kereta. Selain berhenti sejenak sebelum meletakkan kunci itu, Fokuskan fikiran seketika akan perbuatan itu kemudian sebutkan, “Aku letakkan kunci ini di tepi tangga.”

3.       Perhatikan keadaan sekeliling
Rakam sekali lalu suasana sesuatu tempat di mana anda meletakkan kereta, misalnya, warna tiang yang paling hampir, nombor tiang, tingkat berapa, jenis kereta di kiri dan kanan dan sebarang tanda-tanda lain seperti kebisingan yang berterussan atau sesuatu bau yang menusuk.

4.       Jangan khayal
Jika anda tenggelam dalam mimpi sewaktu pertama kali mendengar apapun, kemungkinan anda tidak akan dapat mengingat informasi yang diberikan.

Ramai orang gagal mengingat nama seseorang yang baru ditemui kerana mindanya sibuk menilai persepsi wajah orang itu, menilai bibirnya yang digincu, matanya yang dialis eye shadow atau sibuk menimbulkan percakapan yang menyenangkan untuk mengekalkan minat. Tetapi gagal mengaitkan semuanya itu dengan nama orang berkenaan. Akibatnya, apabila bertemu kali kedua, mungkin seminggu, sebulan atau setahun kemudian, dahinya berkerut-kerut untuk cuba mengingat sesuatu yang memang tiada dalm ingatannya. Ini sungguh memalukan dan bukan sikap seorang yang cemerlang. Seseorang wakil insurans berjaya menjual begitu banyak polisi kerana dia dapat menyebut nama orang yang ditemuinya buat kali kedua dengan tepat. Begitu juga seorang ahli perniagaanyang dapat menyebut nama setiap wakil yang ditemuinya dengan tepat akan dapat menguasai situasi dan akhirnya memenangi kontrak.

Perihal khayal ini lebih kerap berlaku dalam sesi-sesi ceramah dan proses pembelajaran di kelas dari peringkat paling rendah hinggalah yang paling tinggi. Kerana itu saya sering memisah-misahkan pengajaran saya kepada beberapa segmen, berdasarkan purata seseorang pendengar hanya mampu mendengar dengan baik dalam masa 25 minit. Di dalam kelas, kadang-kadang saya berada di depan selama lebih dua jam. Dalam tempoh yang lama ini apa sahaja yang saya sebutkan boleh sasar daripada sampai ke pendengaran para pelajar. Kalau sampai pun mungkin keupayaan mereka untuk mengingat akan berkurangan dan akhirnya matlamat hendak melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang tidak kesampaian.

Apa yang saya lakukan ialah membahagi-bahagikan pengajaran kepada beberapa segmen dengan memberitahu pelajar lebih awal segmen-segmen yang akan dilalui. Ini memberi kesediaan awal minda supaya mereka tidak terasa tertekan malah bersedia untuk menghadapi kesemua segmen hingga selesai. Sering kali di dalam segmen-segmen ini saya akan membawakan pengalaman-pengalaman peribadi saya sewaktu berada di Eropah dan Amerika Syarikat selain memberikan motivasi dan juga ilmu smart learning. Dengan itu saya telah mewarnakan pengajaran tidak kepada satu warna sahaja.

          Kenyataan, dalam tekanan dan tegangan yang tidak terarah bukanlah waktunya untuk mengingat tetapi adakalanya kita perlukan tekanan untuk mengingat.


Mengingat apa yang dibaca

1.       Libatkan diri anda dalam pembacaan dan visualkan apa yang dibaca
Jika anda membaca tentang sejarah misalnya, libatkan diri anda kepada apa yang anda baca itu. Jika anda membaca tentang pembedahan pula, libatkan diri anda dalam dewan pembedahan. Bayangkan anda berada di situ serta melihat semua perbuatan doktor dan para jururawat selari dengan apa yang anda baca. Kalau boleh jadilah salah seorang daripada team pembedahan itu. Anda boleh menjadi doktor yang mengetuai pembedahan atau jururawat yang menjaga peralatan pernafasan. Ataupun seorang pemerhati tanpa tugas tertentu tetapi berada di dewan bedah.

Membaca tanpa visual  samalah seperti anda bermimpi tatkala tidur – hanya sebahagian kecil daripada mimpi itu yang anda ingat sedangkan yang lain-lain akan hilang begitu sahaja. Berbeza dengan pergerakan anda di alam nyata, anda akan lebih ingat dengan setiap perkara yang anda lakukan dalam sehari semata-mata kerana anda melibatkan diri anda ke dalamnya.

Dengan turut berlakon dalam adegan-adegan yang anda baca, hakikatnya anda telah melibatkan diri dengan sesuatu peristiwa dan ia seperti mencetaknya ke atas kertas foto yang hasilnya nanti adalah sekeping foto yang jelas dan menarik. Jika imaginasi anda baik, anda seperti merakamkannya dengan kamera video di mana hasilnya ialah gambaran-gambaran hidup yang lebih nyata.

Saya percaya ramai daripada anda yang terkesan setelah menatap sesebuah novel, malah bukan sahaja ceritanya anda ingat bahkan watak, suasana dan dialog sesetengahnya terus segar dalam ingatan anda. Mengapa agaknya hal begini berlaku? Jawapannya kerana anda telah mevisual kan pembacaan anda itu hingga wujudlah watak-watak berkenaan dalam minda anda mengikut persepsi anda sendiri. Anda mewujudkan sendiri watak-watak itu mengikut visual-visual  yang sedia ada dalam minda anda. Misalnya, seseorang watak yang bernama Ahmad dalam novel berkenaan digambarkan memiliki misai nipis, maka dengan sendirinya minda anda memberikan gambaran demikian. Sedangkan watak bermisai nipis yang sebenarnya dimaksudkan oleh penulisnya bukanlah seperti yang anda gambarkan itu. Ini bermakna jika sejuta orang membaca novel berkenaan bermakna sejuta imej Ahmad yang bermisai nipis terbentuk dalam setiap minda. Daripada gambaran-gambaran watak dan perwatakan inilah anda melihat dia bergerak dan bertindak. Anda mengikut hala fikirnya dan anda membina watak ini dalam layar pembacaan anda.


Lihat, betapa imaginasi memang boleh memberikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang anda sangkakan. Ini belum lagi menyentuh bagaimana orang boleh melenturkan sebatang sudu hanya dengan kuasa imaginasi ataupun menahan rasa sakit daripada sebatan hanya kerana imaginasi.

Izinkan saya menambah perihal imaginasi dengan rasa sakit ini. Saya pernah belajar permainan Aikido, satu seni mempertahankan diri Jepun. Sense Yamada, yang didatangkan khas dari Jepun itu berkali-kali berasa hairan mengapa saya tidak menepuk tatami meskipun dia telah memulas tangan saya hingga melebihi paras yang biasa dilakukannya terhadap pelajar-pelajarnya yang lain. Menepuk tatami adalah isyarat untuk meminta lawan segera melepaskan tangan kita andainya pada waktu itu kita sudah tidak tertanggung sakitnya.

Anda ingin tahu apa yang saya lakukan? Walaupun saya belumlah terlalu mahir menggunakan minda kerana pada waktu itu saya masih remaja, tetapi imaginasi saya telah merealitikan apa yang saya arahkan kepadanya. Saya beritahu minda, saya tidak mahu berasa sakit. Saya minta dia buat sesuatu supaya rasa sakit hanya berkisar dari anak jari hingga ke paras lengan. Saya tidak mahu rasa sakit itu di rasai oleh seluruh badan.

Dengan memberikan arahan demikian, saya dapat menahan rasa sakit malah selalu tersenyum sewaktu kawan-kawan beriya-iya memulas lengan saya. Minda saya telah bertindak mengikut arahan yang saya berikan. Dengan berkata begini tidaklah seorang aktivis minda itu memang berupaya mencecahkan jarinya ke api tanpa mencederakannya sedikit pun? Membiarkan tubuhnya dipukul tanpa menimbulkan kesakitan yang amat sangat terhadapnya? Membolehkan dia menarik sebuah lori yang sarat dengan muatan hanya dengan pinggangnya?

2.       Catatkan sesuatu tatkala membaca
Bantulah minda anda mengingat dengan memberikan penekanan terhadap sesuatu fakta yang perlu untuk diingati. Penekanan yang saya maksudkan ialah mencatat. Terbukti kuasa catatan amat besar bagi sesetengah fakta yang tidak boleh anda gambarkan. Contohnya, anda hendak mengingat H2O bagi air. Bagaimana anda hendak membayangkan formula ini dalam imaginasi atau dalam lakonan yang sengaja anda bangkitkan selari dengan pembacaan tadi? Sudah tentu sukar walaupun bukanlah mustahil bagi orang yang kuat cm dan subcm nya ataupun kuat kuasa angan-angannya.

Dengan mencatatkan formula ini di atas kertas anda sebenarnya telah mencetakkannya ke dalam minda ingatan, sebagaimana anda mencetakkannya ke atas kertas foto. Luangkan sedikit masa untuk memberikan perhatian terhadap formula itu dan katakan kepada diri anda, “Aku hendak ingat formula ini.” Dengan berkata begitu anda telahpun menggerakkan beberapa saraf untuk bertindak secara sendiri (automatik) untuk memungkinkan formula itu kekal dalam ingatan.

Jika anda sebutkan dengan kuat pula, Anda telah memberikan satu tugas kepada deria pendengaran untuk turut mengambil bahagian. Ini nyata membantu daya ingatan anda sebab setiap yang didengar oleh telinga akan disalurkan ke otak untuk ditimbangtara sama ada untuk diingati atau dilupakan. Jika anda telah pun menyatakan anda hendak mengingat formula berkenaan, sudah tentu apa yang didengar oleh telinga tadi akan disimpan dalam fail ingatan bukan gudang pelupusan.

Bermula dari otak, mata, tangan, hati, telinga dan suara, anda telah pun melibatkan semua anggota tubuh untuk mengingat. Peratus untuk anda ingat berbanding lupa adalah jauh. Jika anda lupa juga itu bukan bermakna sistem ini tidak berkesan tetapi penguasaan kaedah mengingat yang masih lemah dalam diri anda sendiri. Anda perlukan latihan yang berterusan dan berikan kepercayaan kepada diri anda untuk memberikan sesuatu yang terbaik buat anda.

3.       Kaedah basnyabaraiuji
Jika anda berada di alam pembelajaran pada waktu ini, tidak kira sama ada di alam persekolahan ataupun telah meningkat ke tangga universiti, anda perlukan satu lagi kaedah mengingat apa yang saya namakan basnyabaraiuji bermaksud mengimbas, bertanya, membaca, menghurai dan menguji.

Bacalah sepintas lalu pendahuluan bab untuk memberitahu minda tentang apa yang akan dipelajari dan supaya ia lebih bersedia. Ini dipanggil mengimbas. Ia boleh dilakukan secara smart reading atau bacaan cepat. Demikian juga imbaslah sesuatu bab yang hendak dipelajari terlebih dahulu sebelum hadir dalam kuliah jika anda tahu guru pensyarah akan perkatakan bab itu. Dengan mengimbas terlebih dahulu, anda telah memberi peluang kepada otak menyediakan wadah yang diperlakukan untuk memahami, seterusnya mengingati sesuatu yang penting daripada bab berkenaan ataupun daripada mulut pensyarah kelak.

Jika anda membaca sendiri pun, lakukan imbasan secara pantas. Anda akan dpati beberapa perkataan yang penting (barangkali yang belum pernah anda dengar, misalnya dalam subjek Biologi) tertangkap oleh mata. Jila nanti pensyarah menyebut perkataan yang sama, istilah berkenaan akan segera mengembang ataupun kian terpateri ke dalam ingatan. Anda akan lebih ingat dan lebih faham tentang pelajaran yang dipelajari.

Ketika anda merujuk untuk menghasilkan tesis, mengimbas malah lebih perlu dan penting. Bayangkan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk membaca setiap buku yang hendak anda rujuk, belum dicampur dengan masa anda mendebat, menulis, menyemak, menjilid dan sebagainya itu.

Menghasilkan tesis bukanlah kerja mudah berdasarkan prinsipnya memperihalkan sesuatu yang belum pernah diperkatakan atau memperbaharui sesuatu yang telah dibincangkan oleh tesis-tesis terdahulu. Jika anda tidak membaca atau merujuk tesis-tesis ini atau buku-buku yang berkaitan dengannya, ada kemungkinan tesis anda akan ditolak, bukan sekali, malah mungkin berkali-kali hingga penyelia anda bosan dan anda sendiri tewas.

Membaca pantas boleh dilakukan perpandukan penerangan berikut:

Langkah 1
Tumpukan mata anda di tengah-tengah muka surat. Letakkan pembaris di baris pertama ayat, kemudian tarik perlahan-lahan ke bawah. Dengan melakukan begini, mata anda sebenarnya akan menangkap keseluruhan ayat walaupun sebenarnya anda menumpukan perhatian pada bahagian tengah.

Tidak perlu anda sebutkan (baca dalam hati) setiap patah perkataan yang anda lihat. Lihat sahaja dan terus tarik pembaris ke bawah.


Langkah 2
Tumpukan mata anda pada sudut kiri dan turunkan menyendeng ke kanan bawah. Apabila selesai lakukan pula di sudut kanan dan turun menyendeng ke kiri bawah.


Langkah 3
Lakukan sekali lagi langkah 1. Apabila selesai anda sepatutnya telah dapat menangkap setiap perkataan penting dalam muka surat berkenaan. Melalui latihan yang berterusan anda akan dapat memahami setiap yang terkandung dalam muka surat berkenaan dalam masa beberapa saat sahaja.

Seterusnya, perkuatkan hasrat untuk mengingat apa yang ingin anda ingati itu dengan bertanya. Tanyalah apa sahaja asal berkaitan dengan perkara yang ingin diingati. Anda boleh tanyakan kepada pensyarah ataupun rakan-rakan. Yang penting anda bertanya sebab setiap pertanyaan akan berbalas dengan jawapan. Jawapan akan memanjangkan ruang ingatan yang diperuntukkan oleh otak untuk sesuatu perkara yang ingin diingati itu. Ruang yang semakin besar membuka kemungkinan yang lebih besar bagi daya ingatan. Bukankah setiap peristiwa besar lebih kekal di dalam ingatan anda daripada perkara kecil. Pengalaman melihat sebuah bas penumpang terbalik bukankah lebih besar daripda luka kecil yng terjadi di jari?

Pelajar-pelajar yang belajar secara berkelompok sering mendapat faedah daripada teknik kedua ini. Dalam perbincangan, bertanya dan menjawab adalah proses mudah untuk lebih memahami dan mengingat. Bagaimanapun, adalah lebih baik agar kelompok-kelompok perbincangan ini diketuai oleh seorang yang lebih pintar, kerana kelompok perbincangan yang disertai oleh orang yang sama tahap kecerdikannya biasanya tidak ke mana. Ia hanyalah merangsang minda tetapi tidak menambah pengetahuan.

Seterusnya, luangkan masa untuk membaca. Kali ini dengan lebih berhemah – perlahan-lahan sambil memerhatikan semua fakta, semua istilah baru dan semua gambar rajah yang disiarkan. Di sinilah kaedah libatkan diri anda dalam pembacaan dan visualkan apa yang dibaca diperlukan. Kemudian perkuatkan dengan membuat catatan.

Langkah seterusnya ialah buatlah huraian sama ada bersendirian ataupun berkumpulan. Huraian adalah satu proses ulangkaji. Proses ulangkaji penting dilakukan untuk melihat sejauh mana anda faham tentang sesuatu yang dipelajari dan sejauh mana anda ingat.

Dan langkah yang terakhir ialah ujilah diri anda dengan soalan-soalan sama ada yang di reka sendiri, kumpulan ataupun soalan-soalan peperiksaan lepas. Jika anda dpat menjawab itu tandanya anda bakal mencapai kejayaan dalam peperiksaan sebenar, sekali gus anda telah meletakkan imaginasi ke tahap yang selayaknya untuk anda.

Asibidibam
Akronim ini wujud daripada ringkasan apa (a), siapa (si), bila (bi), di mana (di), bagaimana (ba), mengapa (m).

Wartawan menggunakan kaedah ini untuk mengingatkan mereka tatkala menulis berita yang terlengkap dan terbaik. Sesebuah berita itu dianggap menepati ciri-ciri berita yang terbaik jika dia dapat menjawab kesemua persoalan asibidibam ini. Dalam pelajaran, terutama matapelajaran sejarah, politik, sains sosial, dan falsafah jika anda menggunakan teknik ini, anda bakal menghasilkan jawapan yang lengkap dan terbaik di atas kertas jawapan.

Daripada asibidibam ini boleh direka apa sahaja akronim lain mengikut apa yang hendak diingat atau gabungan apa sahaja soalan yang boleh dijadikan panduan untuk menghasilkan sesuatu atau untuk mengingat sesuatu. Misalnya usopzi untuk Rukun Islam – mengucap, solat, puasa, zakat, haji.

Contoh lain ialah homes untuk – Huron, Ontario, Muchigan, Erie dan Superior (nama sungai-sungai yang utama di Amerika Syarikat). Untuk menghubungkan nama-nama ini dengan sungai supaya apabila teringatkan homes bukan sembarangan sungai yang terbayang, bayangkan sebuah rumah terapung di sungai.

Gambaran dan imaginasi begini pernah digunakan oleh ahli falsafah terdahulu termasuklah Aristotle. Dia dikhabarkan pernah berkata, “Kita tidak mungkin boleh berfikir tanpa menggambarkan sesuatu terlebih dahulu.”

Sebab itu sering kali kita mendengar orang berkata, “Oh, itu telah mengingatkan saya pada…” Ketika itulah kaedah perkaitan tadi berlaku antara satu benda dengan yang lain.
         
Beberapa akronim menjadi begitu popular hingga kita terlupa apa kepanjangan huruf-hurufnya misalnya scuba berasal daripada self contained underwater breathing apparatus manakala laser singkatan daripada light amplification by stimulated emission of radiation.

          Bagaimana pula halnya dengan nombor? Ada beberapa panduan untuk mengingat nombor. Bagi nombor pendek kaitkan dengan perkataan yang mengandungi makna dan mudah digambarkan. Contoh perkaitan nombor satu hingga sepuluh:
          1 – kutu
          2 – bunga
          3 – raga
          4 – ketupat
          5 – delima
          6 – gam
          7 – puyuh
          8 – papan
          9 – bulan
         10 – peluh

Jadi, kalau ingin mengingat alamat jalan dengan nombor 186, anda dapat membentuk satu imej kutu (1) di atas papan (8) kena gam (6).

Atau anda hendak membeli 24 kilogram beras, gambarkan sekuntum bunga (2) di atas ketupat (4) yang berisi beras.

Akhir sekali bagi anda yang ingin menghafaz angka dengan lebih pantas kelompokkanlah nombor-nombor itu, misalnya, untuk mengingatkan 6003150135700990, kelompokkan 6003 1501 3570 0990.


di petik dari : Buku Membina Imiginasi Cemerlang 
tulisan : Dr HM Tuah Iskandar al-Haj

No comments:

Post a Comment