Follow Us @soratemplates

12 November 2012

Penuaan Minda


 Robert Butler pemenang Pulitzer Prize untuk bukunya “Why Survive? Being Old in America” berkata, “Seluruhnya tidak ada yang menurun berkaitan dengan umur. Kenyataannya, penilaian, ketetapan daya ingatan, dan pengetahuan umum boleh meningkat.”

Kenyataan ini bagaimanapun seperti bertentangan dengan apa yang boleh dilihat dan dialami dalam hakikat nyata. Dalam masyarakat kita keadaan-keadaan seperti lupa, dan nyanyuk adalah perkara lumrah mengikut peningkatan usia. Lebih teruk lagi, penyakit lupa dan nyanyuk ini berkesudahan dengan latah.

            
Sebenarnya saya berasa tidak seronok membicarakan hal ini kerana ia seolah-olah bergerak ke belakang setelah saya merangsang dan memuncakkan kehebatan minda dan imaginasi. Namun, saya rasa perlu juga meperkatakan hal ini kerana situasi masyarakat kita adakalanya lebih dahulu tua daripada tua yang sebenarnya atau cepat alah kepada suasana yang sedikit tidak tertanggung.

           
Betul, kajian mengatakan usia antara 25 hingga 40 adalah usia untuk mengingat dan usia antara 12 hingga 24 adalah kecemerlangan proses mengingat. Persoalan yang boleh ditanyakan apakah selepas usia mencecah 40, semua yang diingati akan luntur dan kerja-kerja mengingat akan berakhir?

Memanglah ia berkait dengan faktor usia kerana semakin usia meningkat, pengambilan makanan juga menurun. Akibatnya otak tidak mendapat rangsangan yang cukup untuk bertindak sebagaimana dahulu.

Warne Schie, Pengarah Gerontology Center di Pennsylvania State University, telah mengkaji kondisi mental daripada 4000 orang selama lebih daripada 30 tahun, adalah pakar dalam bidang stimulasi mental dan penuaan otak.

Menurutnya, daya ingat semantik tetap tajam sehingga mencecah umur 70-an, tetapi daya ingatan nama-nama terutama yang tidak sering digunakan mulai menurun setelah mencapaiumut 35 tahun.


Jika daya ingatan jangka pendek tidak menurun bersamaan dengan umur, daya ingatan jangka panjang dan episodik (mengingat tempat dan tempat sesuatu kejadian terjadi) menurun.

Jika anda terlupa, satu daripada beberapa hal ini mungkin terjadi; anda tidak memerhatikan dengan baik pada peringkat awalnya, anda mungkin tidak cuba mengingat.

Kalau keadaan fizikal dan mental tidak dalam keadaan terbaik, sistem daya ingatan secara keseluruhan akan berfungsi dengan kecepatan lebih rendah, perhatian berkurang dan daya ingatan jangka panjang merosot.

Kajian National Center of Health Stastistic mendapati, orang yang mengalami penyakit mempunyai masalah daya ingatan berbanding mereka yang kesihatannya baik.

 Saya berpendapat, berdasarkan pengamatan dan juga ilham, masalah daya ingatan sebenarnya disebabkan oleh perbezaan teknik dalam penyimpanan informasi. Walaupun saya tidak menafikan penuaan usia, setiap informasi yang disimpan dengan betul pada permulaannya akan kekal selagii tiada arahan diberikan kepada diri untuk memadamkannya. Ia tidak ubah bagaikan HD komputer yang akan kekal menyimpan sesuatu maklumat itu selagi tiada tindakan diambil untuk memadamkannya, melainkan HD itu sendiri rosak atau dijangkiti virus-virus tertentu

Ada juga sebab-sebab organik yang litupnya luas menjadi dasar penurunan daya ingatan terhadap orang tua. Ketika manusia mulai berumur, kehilangan sel-sel otak yang banyak di hipokampus berlaku di bahagian otak lainnya lalu mengawal daya ingatan dan proses belajar. Kematian sel-sel ini menyebabkan merosotnya pengeluaran neutrotransmiter yang penting untuk daya ingatan dan proses belajar. Kajian mendapati lebih daripada 5% sel saraf dalam hipokampus berkurangan bersamaan dengan setiap dekad ketika umur pertengahan. Ini bererti kehilangan lebih daripada 20% keseluruhan sel saraf hipokampus bermula ketika seseorang masuk ke usia 80-an. Kerosakan daerah otak ini mungkin hasil daripada hormon-hormon ketegangan. Jumlah radikal bebas (bentuk toksik daripada oksigen) sangat banyak yang dapat juga terbentuk ketika seseorang mulai berumur lalu merosakkan hipokampusnya.

Penyebab lain ialah memperoleh secara genetik, terdedah kepada racun seperti timah atau pestisid atau merokok dan arak. Beberapa keadaan lain juga menyebabkan masalah daya ingatan jika tidak diubati, iaitu tekanan darah tinggi, diabetes, tiroid, masalah dalam penglihatan dan pendengaran dan tumor otak.

Jika seseorang terlupa di mana dia meletakkan cermin matanya, itu adalah kelaziman tetapi jika dia tidak dapat mengingat bahawa dia sebenarnya memakai cermin mata, itu boleh menjadi tanda-tanda alzheimer. Kalau penyakitnya semakin parah, tanda-tandanya semakin kelihatan, Percakapannya menjadi semakin tidak terarah dan ingat-ingat lupanya semakin menjadi-jadi. Dia boleh tersesat ketika meninggalkan rumah untuk membuang sampah di luar pagar. Penyakit alzheimer ini adalah kemerosotan daya ingatan parah yang berkaitan dengan umur AAMI (Age-Associated Memory Impairment).

            Masalah minda yang semakin tua ini juga jika dibiarkan akan berakhir dengan dua keadaan – lupa terus atau mengalami gangguan mental. Gangguan mental malah lebih ditakuti kerana ia adalah mukadimah kepada penyakit gila.

            Kita pernah dikejutkan dengan kes-kes kesihatan mental seperti mendera pembantu rumah dengan begitu teruk – memukulnya seperti memukul haiwan, menjiruskan air panas ke kepala, mengurungnya seperti anjing, memberinya makanan yang telah basi dan sebagainya. Kita juga pernah dikejutkan dengan kes ibu bapa menyembelih anak sendiri, seseorang mengamuk secara tiba-tiba di dalam bas dengan mencederakan ramai penumpang, semuanya menjurus kepada satu pokok persoalan – kesihatan mental yang terganggu.

            Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan mental sebagai keupayaan seseorang mengekalkan hubungan harmoni dengan orang lain, keupayaan mengambil bahagian dalam kegiatan masyarakat dan kebolehan untuk menyumbang kepada masyarakat.


            Pakar Psikiatri Hospital Universiti, Profesor Madya Dr. Hussein Habil berkata, antara faktor mempengaruhi masalah ini antaranya genetik, persekitaran, kerencatan saraf otak ddan psikologi.

            Walaupun seseorang itu berjaya dari segi kerjayanya dia tidak semestinya terlepas daripada masalah ini. Sekali gus ia menunjukkan sesiapa sahaja berkemungkinan menghidapinya sebagaimana penyakit alzheimer tadi.

            Antara tanda-tanda seseorang itu berhadapan dengan masalah tekanan minda adalah sentiasa berfikiran negatif, gelisah, marah tanpa sebab, suka menyendiri dan risau.

            Ada pendapat mengatakan wanita lebih mudah mengalami tekanan mental dan mendapat sakit jiwa atau skizofrenia.

            Mengikut statistik dari Unit Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur untuk kes kemasukan pesakit Skizofernia, tahun 1999 mencatatkan kemasukan sebanyak 1197 berbanding 1515 pada tahun 1989. Bagi pesakit yang menghadapi masalah kemurungan pula, jumlah kemasukan pada tahun 1999 ialah sebanyak 144 berbanding pada tahun 1998 sebanyak 134.

            Kajian Kementerian Kesihatan tahun lalu, mendapati, dalam lingkungan 10.7% orang dewasa yang menghidap skizofrenia, jumlah kaum wanita yang mengalami masalah ini adalah 1.5% lebih tinggi berbanding kaum lelaki.

            Sementara dalam tahun 1997, kes gangguan mental di kalangan remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, didapati meningkat 28% berbanding 15% yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

            Sumber yang sama juga menyatakan kadar penyakit mental juga tinggi terhadap golongan yang kematian pasangan hidup iaitu 29.2%; pasangan yang bercerai atau diceraikan ialah 21.3%, mereka yang tidak berpelajaran mewakili 23%, Pengangguran 27% dan golongan berpendapatan rendah 13.8%.

Daripada sini kita boleh simpulkan bahawa setiap yang berkaitan dengan gangguan minda berakhir dengan penyakit mental dan ada kemungkinan proses penuaan minda turut menyumbang kepada keadaan ini. Kita juga boleh mengatakan penggunaan minda yang tidak betul, sama ada terlalu kurang atau ‘berlebihan’ boleh menyebabkan gangguan kepada sel-sel otak atau neuron.

Penggunaan yang terlalu kurang boleh mengakibatkan kurang cemerlang, penggunaan yang salah menyebabkan lupa, nyanyuk dan latah serta penggunaan yang berlebihan misalnya terlalu sangat memikirkan masalah akan menyebabkan gangguan mental. Mari kita simpulkan seperti berikut:

1.       Kurang menggunakan minda, kurang berfikir, kurang menambah ilmu, kurang memprovok fikiran, kurang bertukar-tukar pandangan, kurang membaca, kurang mengambil tahu, kurang mahu menerima pandangan orang = sel-sel neuron terus tertidur, tidak terpanggil dan ‘terus mati’. Proses penuaan minda akan lebih cepat.


2.       Penggunaan minda yang tidak betul, penyimpanan maklumat yang salah, kaedah mengingat yang tidak teratur, gagal memahami keupayaan cm dan subcm, pencampuradukkan keupayaan minda dengan hal-hal mistik, mempercayai sesuatu yang amat mustahil tercapai, terlalu kuat berfikir tanpa memberikan ‘baja, air, matahari dan udara’ secukupnya kepada minda = sel-sel neuron terganggu, pembentukan sinaps bercelaru, dendrite ‘hidup’ tidak menentu. Bukan sahaja minda akan lebih cepat tua bahkan mungkin ‘membunuh’ beberapa sel, sinaps dan dendrite. Kesan yang paling nyata ialah proses penuaan minda yang berbaur dengan penyakit lupa, nyanyuk dan latah.

3.       Penggunaan minda yang berlebihan, terlalu memikirkan sesuatu hingga gagal menilai sesuatu melalui ‘neraca diri’, sengaja merosakkan minda dengan benda-benda khayal misalnya dadah, arak, narkotik, = sel-sel neuron rosak, mati dan jika keadaan-keadaan demikian berterusan, minda tidak dapat berdiri sendiri dan akhirnya seluruh keajaiban, kecemerlangan dan kehebatan minda menjadi sebaliknya. Titik akhir kepada keadaan ini ialah gangguan mental – tidak siuman atau gila.

Merangsang daya ingatan
Dalam kita tidak menafikan proses penuaan badan yang juga akan mengakibatkan penuaan otak, kita sebenarnya masih boleh berusaha mengurangkan kecepatan terjadinya proses-proses ini. Barangkali kita pernah melihat bagaimana seseorang yang telah berusia 80-an masih cergas serta boleh memberikan sumbangannya kepada masyarakat.

Berdasarkan beberapa pendapat dan pengamatan, otak jika dirangsang dapat menghentikan pengerutan sel-sel kerana proses penuaan.

Kajian di California menunjukkan tikus yang hidupnya terstimulasi dengan banyak bermain di kandangnya, mempunyai lapisan otak dan sel-sel otak yang lebih besar dan lebih sihat. Tikus yang dikurung di kandang kosong tanpa mainan mempunyai otak yang lebih kecil dan lesu.

Berdasarkan penemuan ini, pakar-pakar percaya manusia juga dapat mencapai hal yang sama dalam meningkatkan fungsi daya ingatan dengan menjadikan diri mereka aktif atau hidup dalam lingkungan ‘kaya’, penuh berwarna, dihiasi bunyi serta pemandangan dan bau-bauan.

Lebih jauh daripada itu, kajian juga telah menemukan bahawa sel-sel otak yang terlatih (aktif) mempunyai dendrite lebih banyak. Terdapat perkaitan dengan umur, lingkungan yang merangsang meningkatkan pertumbuhan dendrite ini dan lingkungan yang bodoh menurunkan jumlahnya. Kesimpulan yang dibuat hasil kajian ini ialah sel-sel otak yang sedikit atau tidak bergerak gagal merangsang otak.

Sekarang tugas kita ialah memberikan segala yang diperlukan oleh kehidupan kita agar otak kita terus gemilang untuk berfungsi sebagai salah satu aset terpenting pada usia-usia remang. Pada pendapat saya harga kita pada usia demikian adalah ingatan yang masih kuat selain tubuh yang masih sihat. Mulai sekarang anda harus:

Hidupkan persekitaran anda
Ada pelbagai cara untuk menghidupkan persekitaran anda. Semuanya bergantung kepada apa yang anda gemari dalam kehidupan anda. Setiap yang menggembirakan itu sebenarnya adalah lampu warna-warni yang anda perlukan untuk menghidupkan kehidupan anda. Bagaimanapun, jika anda seorang Islam masih ada batas-batas yang anda perlu ketahui dan patuhi supaya warna-warna hidup anda tidak menjerumuskan anda ke lembah kehidupan yang hina dari sudut agama.

Mulakan dengan menghias rumah. Hampir seluruh usia seseorang dihabiskan di rumah. Oleh itu hiasilah rumah anda dengan apa yang boleh menyukakan hati anda. Gantungkan ayat-ayat suci di ruang tamu sekiranya itu anda rasakan dapat membantu memberikan ketenangan sambil menghidupkan suasana. Hiasi juga pejabat anda kerana sebahagian besar kehidupan anda yang lain adalah di situ.


No comments:

Post a Comment