26 December 2012

Membina Motivasi Diri Tatkala Tertekan



Tatkala anda tertekan lakukanlah saranan kendiri, kenduran minda dan mengingati PENCIPTA.



Saranan Kendiri
Apa itu saranan kendiri? Saranan kendiri ialah apabila anda bercakap dengan diri anda sendiri sama ada dengan bersuara mahupun tidak. Bercakap sendiri ini sebenarnya berlaku setiap waktu, bahkan tatkala anda tidur, sebenarnya minda anda bercakap hingga tayanglah pelbagai gambaran mimpi. Jika kuat sangat percakapan itu ia akan terluah melalui kata-kata. Dalam keadaan begini anda dikatakan sedang mengigau.

Monolog dalaman ini lebih kerap terjadi sewaktu anda berdepan dengan masalah bersendirian. Ketika itulah diri anda sendiri mencadangkan berbagai-bagai cadangan tanpa anda ketahui sebabnya. Sesetengah orang menyebut suara hati. Daripada sinilah suatu tindakan itu diambil. Biasanya orang yang dalam tekanan akan mendapat saranan yang membuahkan tindakan-tindakan nekad yang juga berani tetapi tidak bertempat.

Jika dia gagal mendapat kembali arus bertenang dalam dirinya (arus Alpha) dia akan bertindak seperti apa yang disarankan itu. Hasilnya selalu buruk.
Saranan kendiri adalah mekanisme yang penting untuk mencapai motivasi diri meskipun dalam keadaan tertekan. Ia ibarat petrol yang dicurahkan ke api. Sebagaimana tekanan yang saya sebutkan sebelum ini, saranan kendiri juga boleh diperalatkan untuk mencapai kecemerlangan dan kegemilangan dalam hidup. Anda hanya perlu bertenang dan positifkan setiap cadangan yang timbul dan cuba realitikan secara positif.

Dalam kata lain, anda membentuk kata-kata perangsang yang boleh meredakan perasaan negatif supaya berada pada tahap yang lebih terkawal dan seimbang. Kata-kata ini mendorong anda bertindak melakukan apa yang telah anda sarankan itu.

Misalnya anda bermonolog dengan kata-kata “Hai, sakitnya hati aku. Apa aku nak buat ni? Nampaknya kenalah tunjuk kuat. Kalau tidak selama itulah dia sangka aku takut padanya.”

Dalam keadaan begini, jika anda gagal mencetuskan kembali arus alpha anda akan terus bertindak mengikut saranan hati tadi. Akibatnya selalu buruk.
Tapi kalau anda menggunakan mekanisme ini (saranan kendiri) secara betul anda boleh memperalatkannya untuk mencapai sesuatu yang agak mustahil. Misalnya, anda bermonolog. ‘Aku boleh menghasilkan sebuah buku dalam bulan ini. Aku mesti berusaha bersungguh-sungguh.’

Penekanan perkataan ‘mesti’ pada ayat kedua menunjukkan peri pentingnya usaha manakala perkataan ‘boleh’ digunakan pada ayat pertama supaya kekecewaan tidak sangat terasa apabila anda tidak berjaya menulis buku berkenaan kerana anda telah pun berusaha.

Maknanya, biarpun usaha anda gagal setelah anda menggembeling segala usaha, anda masih boleh bertenang dan berada dalam arus Alpha. Kesimpulannya sentiasa positifkan, monolog. Jika yang negatif juga yang hadir, iringi dengan saranan positif.

Kenduran Minda
Penyakit utama minda ialah memberi ruang dan peluang kepada kata-kata negatif daripada menembusi minda?

Anda kata anda berjaya menyekat kata-kata negatif, minda anda akan lebih tenang dan boleh berfungsi dengan positif. Sebaliknya jika anda terus melayani kata-kata negatif, minda anda akan terus sakit dan anda juga akan bertindak secara negatif. Jadi, anda perlu menyekat kata-kata negatif daripada menembusi minda.

Contoh begini, tatkala monolog diri menyarankan agar anda bangun untuk melakukan sembahyang pada suatu subuh yang amat sejuk, kata-kata negatif akan cuba menembus, ‘Ala, tak payahlah. Nanti qada aje’.

Kalau ketahanan diri anda lemah pada waktu ini, anda akan menurut saranan negatif itu dan membiarkan ia mengatasi diri anda yang sebenarnya (fitrah anda memang mahu bangkit kerana sedar aktiviti itu wajib).

Dalam agama, situasi begini berlaku kerana adanya campur tangan syaitan. Ini memng tidak dinafikan. Agama menyarankan kita beristighfar dan membaca doa-doa untuk menghalau syaitan misalnya memohon pelindungan ALLAH dari syaitan yang direjam dan kemudian membaca Bismillah.

Namun, masih ramai yang gagal bangkit meskipun syaitan sudah terbirit-birit lari. Dia masih seronok berselubung dalam selimut dan membiarkan masa berlalu. Mengapa?

Ini dinamakan kenduran minda. Tatkala minda mengendur ia memang lebuh raya kepada saranan-saranan negatif. Anda terpaksa meletakkan road block supaya minda kembali tegang dan terangsang.

Bagaimana? Tidak lain, fikirkan dan sebutkan kata-kata yang berlawanan dengan yang timbul itu. Apabila saya katakan sebut, bermakna anda kena menyebutnya hingga didengar di telinga anda sendiri.

Mengingati Pencipta
Terakhir, dalam usaha mencapai ketenangan, menghindar tekanan dan membina arus yang betul untuk membina kecemerlangan ialah mengingati ALLAH. Kita kena sedar masalah hati tidak dapat ditangkis berpunca daripada lemahnya penghayatan agama.

Firman ALLAH dalam Surah al-Ma’rij, ayat 19 maksudnya, “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut), apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang.”

=======================
Dapatkan Tips Kesihatan & Penjagaan Diri
Like Facebook 


0 comments:

Post a Comment

Social Profiles

Twitter Facebook Google Plus LinkedIn RSS Feed Email Pinterest

Copyright © NurFarizan.Com