SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah
kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran bahan
kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan kerang terus
diperkatakan hingga kini.
Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit
Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.
Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke
dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968.
Dalam insiden tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang
menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia
bertoksik tinggi itu.
Bagaimanapun, peristiwa tersebut menyebabkan para saintis lebih giat
mengkaji kehadiran logam berat berbahaya di dalam hidupan laut yang menjadi
makanan masyarakat dunia.
Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi
amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin serta
mackerel kerana ia tercemar dengan merkuri.
Tahap radiasi merkuri ikan tuna dikenal pasti berdasarkan jenis dan
tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri mampu merosakkan perkembangan otak serta
fizikal janin.
Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun
yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja.
Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup
atau sesuatu yang disentuh oleh tangan.
Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri,
aluminium kadmium, dan plumbum.
Semula jadi
Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak
43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada tahun 2008
berpunca daripada kandungan isi rumah.
Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan toksik
berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan (hidung), kulit
dan mata.
Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa
jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein, karbohidrat,
vitamin, serat dan antioksidan.
Namun, terdapat bahan beracun seperti cyanogenic glycoside di dalam
sesetengah ubi.
Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan sampingan
bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau acrylamide.
Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan
berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti aflatoksin
dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati dalam bekalan makanan pada
tahap berbeza-beza.
Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan
makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini, hampir
99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya.
Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu
Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa tambahan
Rhodamine B.
Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit
berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah pinggang
dan koronari jantung.
Risiko
SESETENGAH jenis ikan mungkin dicemari logam berat, bergantung pada
tempat ia ditangkap.
Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah
menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan badan
dan seeloknya diharamkan penjualannya.
Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik masih digunakan dalam
produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa Kementerian
Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut.
“Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak
chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau Pinang
mendapati ia mengandungi asid borik dalam semua sampel.
“Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per
sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya (0.78
hingga 13.5 bps) asid borik.
“Asid borik amat toksin. Walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, ia
boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang
dan hilang selera makan,” katanya kepada Jurnal.
Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar sotong kering, mereka
dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati ia
dicemari kadmium.
Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran,
dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik.
Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para
petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan.
Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh
menjejaskan sistem endokrin.
Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah Akta
Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di sekitar negeri
Kedah.
Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu
menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air kencing,
peluh dan pembuangan air besar.
Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal
berfungsi?
Nyahtoksin
Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak, sesetengah
orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran atau toksin yang
terperangkap itu dengan pelbagai cara.
Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang
dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh.
Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther
Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi oleh
organ tubuh.
“Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai
sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam tubuh,”
terang beliau.
Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala
berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi chelation
yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses tersebut, katanya.
BUAH-BUAHAN dapat membantu mengeluarkan toksin daripada tubuh tetapi
awas ia juga mungkin telah dicemari racun.
Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin
ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur.
Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin
setiap tiga atau enam bulan sekali.
“Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat
perlu untuk memastikan toksik keluar daripada tubuh.
“Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah
pinggang atau hati di samping berlakunya dehidrasi,” katanya.
Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak,
individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur.
Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap toksin
di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa ‘melekat’ pada lemak.
Selain itu, tubuh turut memerlukan agen pemulihan.
“Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai anggur
boleh membantu memulihkan organ yang luka akibat proses nyahtoksin,” kata
Esther.