Pages

Kandungan Minyak Angin Camphor Juga Memudaratkan

Produk ubat yang mengandungi camphor mudah didapati di pasaran. Camphor diguna sejak sekian lama dalam produk berubat seperti persediaan luaran berbentuk sapuan yang bertujuan merawat otot dan sebagainya.

Ia diperoleh daripada pokok camphor nama saintifik Cinnamomoun camphora dan ekstrak yang terhasil adalah minyak pati yang bersifat mudah meruap.

Ia mempunyai aroma yang sangat kuat dan dapat memberi rasa hangat dan nyaman. Bagaimana pun, ramai pengguna tidak menyedari camphor juga boleh menyebabkan kemudaratan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Risiko keracunan adalah tinggi dalam kanak-kanak kerana camphor cepat diserap melalui kulit dan lapisan mukosa. Keracunan camphor boleh terjadi apabila individu tertelan mahupun terhidu produk mengandungi camphor.

Turut dilaporkan keracunan yang berlaku selepas persediaan mengandungi camphor ini disapu di hidung, kulit atau bahagian perut.

Simptom keracunan awal boleh berlaku dalam tempoh 5 hingga 15 minit atau tertelan dan kemuncaknya pada 90 minit.

Kes keracunan yang dilaporkan kebanyakkannya membabitkan keradangan pada salur pencernaan dan gangguan pada sistem saraf pusat.

Di negara asing, ada kes kematian kanak-kanak yang tertelan lebih 5 mililiter (ml) minyak angin mengandungi camphor. Ia  disebabkan tindak balas pada sistem saraf pusat hingga mengakibatkan sawan dalam masa 20 hingga 30 minit selepas tertelan.

Kebanyakan pakar kanak-kanak tidak mengesyorkan penggunaan minyak berangin atau mana mana produk yang mengandungi camphor.

Pihak berkuasa seperti Persatuan Pediatrik Amerika dan Badan Pengurusan Makanan dan Ubat-ubatan Amerika (FDA) mengeluarkan arahan melarang penggunaan minyak angin yang dicampur dengan camphor melebihi 11 peratus.

Produk berubat yang mengandungi camphor juga perlu dilabel dengan jelas. Bahagian Regulatori Farmasi Negara mengeluarkan arahan bahawa semua produk yang mengandungi camphor perlu disertakan risalah amaran yang melarang penggunaan kepada kanak-kanak di bawah umur dua tahun atas risiko boleh menyebabkan sawan.

Bagi kanak-kanak berumur lebih dua tahun, penggunaan perlu berhati-hati. Selain itu, risalah amaran perlu menyatakan bahawa sapuan produk mengandungi

camphor ke dalam hidung kanak-kanak walaupun dalam jumlah yang sedikit boleh menyebabkan kanak-kanak pengsan serta merta.

Walaupun jumlah kes keracunan camphor yang dilaporkan sedikit, hal ini perlu diambil serius kerana kesannya boleh membawa maut.

Pengguna dinasihatkan lebih berhati-hati dan membaca arahan pada label atau risalah produk dengan teliti memandangkan produk mengandungi camphor mudah didapati secara meluas termasuk di kedai runcit berhampiran kediaman kita.

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkaitan ubat-ubatan, boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722 kami sedia membantu.

Metro Ahad : 09 April 2017
Disediakan oleh : Khairunnisa Mohamad, Pegawai Farmasi Hospital Kemaman.
Ditaip semula oleh : nurfarizan.com

Rujukan : https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/berita/04-mei-2017/minyak-angin-camphor-juga-memudaratkan.html

0 comments:

Post a Comment